
Pelakon Rashdan Baba mengakui terhibur apabila menerima pelbagai komen daripada netizen yang terkejut melihat penampilannya yang kekal awet muda selepas namanya diumumkan sebagai salah seorang peserta Kilauan Emas Selebriti 2026.
Menurut Rashdan, ada netizen yang berseloroh mereka pula berasa lebih berusia kerana sudah menonton lakonannya sejak kecil.
“Bila nama saya diperkenalkan sebagai peserta di platform media sosial, saya nampak banyak komen-komen yang mengatakan mengapa saya tak makan tua?
“Mereka pula rasa tua kerana menonton saya sejak kecil. Apa yang boleh saya katakan, Alhamdulillah. Pada saya, itu bonus.
“Dahulu, kalau saya berjalan berdua bersama arwah bapa, ramai ingat kami ini seperti abang dan adik. Mungkin genetik kami begini,” katanya kepada MH.
Rashdan berkata demikian ketika ditemui pada acara pengenalan peserta Kilauan Emas Selebriti 2026 yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Mengulas mengenai rutin penjagaan kesihatan pula, Rashdan berkata dia sebelum ini banyak menjadi duta produk kesihatan termasuk produk berasaskan stem cell yang baik untuk sel-sel di dalam badan.
“Sebelum ini, saya banyak menjadi duta produk seperti stem cell. Ia bagus untuk sel-sel di dalam badan. Bapa saya dahulu pun banyak amalkan supplement. Sudah macam farmasi banyaknya.
“Dari sudut kesihatan, bila kita menjangkau usia 40 tahun ke atas, kita memang kena mula ambil supplements. Kena minum air secukupnya.
“Bila tak cukup, itu yang datangnya kedutan. Badan kita ini 80 peratus air. Bila kita kerap minum air, kulit kita akan lembab dan lembut,” ujarnya.
Katanya lagi, dia turut mengamalkan langkah mengurangkan pengambilan minuman manis serta makanan kurang sihat bagi menjaga kesihatan diri.
“Kita memang banyak minum air tapi jenis yang manis seperti sirap, teh tarik dan milo air tabur. Alhamdulillah, ajaran daripada arwah bapa, sebelum tidur, minum air suam.
“Bangun tidur pula, sebelum gosok gigi, minum lagi air. Itulah amalan saya sejak dahulu. Kalau pergi kedai makan pun, saya akan minum teh tarik tapi sukatannya hanya separuh cawan.
“Itu pun kadang-kadang tak habis. Itu hanya nak rasa dekat lidah sahaja. Perasaan kita memang nak minum manis, bila terlalu banyak masuk perut, ia akan jadi racun.
“Sama juga seperti makanan. Sedap macam mana pun, bila terlalu banyak masuk perut, ia jadi racun,” kongsinya lagi.
Beralih mengenai penglibatannya dalam Kilauan Emas Selebriti 2026, Rashdan mengakui pada awalnya dia mengambil sedikit masa untuk mempertimbangkan tawaran tersebut memandangkan format program kali ini menampilkan golongan selebriti.
Malah, Rashdan memaklumkan dirinya pernah memasang impian untuk bergelar penyanyi sebelum menceburkan diri dalam dunia lakonan.
“Sebelum ini, pesertanya hanya melibat orang biasa sahaja. Kali ini peserta pula daripada kalangan selebriti. Jadi, kami akan jadi benchmark.
“Kami juga terima disebabkan program ini menyumbang kepada badan kebajikan. Bila diberikan tawaran, memang kena ambil sedikit masa.
“Selama ini kita dalam bidang lakonan. Kini bertukar pula jadi penyanyi. Sebelum ini, cita-cita asal saya ketika umur 20-an memang nak jadi penyanyi. Ketika itu, saya dapat dahulu peluang untuk berlakon.
“Saya juga merasakan ini platform yang baik dan segar. Kini kita boleh dalami ilmu vokal. Sebelum ini, kita menyanyi syok sendiri sahaja tanpa tahu teknik yang betul,” akhirinya.
Terdahulu, Rashdan merupakan antara 10 barisan artis yang diumumkan sebagai peserta Kilauan Emas Selebriti 2026.
Kilauan Emas Selebriti 2026 bakal bersiaran bermula 22 Ogos ini di saluran Astro Prima.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.