Keprihatinan personaliti popular Indonesia, Raffi Ahmad, terhadap nasib rakan seperjuangan dalam industri seni mendapat perhatian ramai apabila beliau menghulurkan bantuan kewangan berjumlah Rp50 juta (RM12,000) kepada pelakon dan pelawak veteran, Diding Boneng.
Bantuan tersebut diterima Diding Boneng atau nama sebenarnya Zainal Abidin Zetta selepas rumah warisannya yang didiami mengalami kerosakan teruk susulan hujan lebat, sekali gus menjejaskan keselamatan dan keselesaan keluarganya.
Difahamkan rumah tersebut telah berusia lebih 100 tahun memandangkan dia dilahirkan disitu dan usianya kini sudahpun mencecah 75 tahun.
Menurut Diding, sumbangan berkenaan diberikan tanpa banyak publisiti apabila wakil Raffi Ahmad hadir meninjau keadaan rumahnya sebelum bantuan kewangan itu disalurkan bagi membina semula rumahnya.
Ads
Lebih menyentuh hati, wang berkenaan terus digunakan untuk membeli bahan binaan bagi membaik pulih rumah yang rosak.
Ads
“Alhamdulillah, bantuan itu sangat bermakna. Saya terus gunakan wang tersebut untuk membeli simen, pasir dan keperluan asas lain bagi membaiki rumah,” katanya seperti dilaporkan portal Kapan Lagi.
Difahamkan, proses pembaikan rumah tersebut telah pun dimulakan dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan, bergantung kepada keadaan cuaca serta kelancaran kerja pembinaan yang sedang dijalankan.
Ads
Tindakan pantas Raffi Ahmad itu menerima pujian ramai, khususnya dalam kalangan peminat yang melihat keprihatinan pengacara dan usahawan berkenaan terhadap kebajikan artis veteran yang pernah mencorakkan dunia hiburan Indonesia.
Ini bukanlah kali pertama Raffi Ahmad menghulur tangan membantu rakan artis yang berada dalam kesusahan, sebelum ini beliau penah membantu pelawak dan pelakon wanita, Nunung, yang turut ditimpa musibah penyakit kanser.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari lalu bukan sekadar menandakan tiga dekad kegemilangan Biduanita Negara.
Malah ia turut mencipta detik bermakna buat pereka fesyen dari Melaka, Bianca Bella, apabila busana songket rekaan mereka dipilih untuk digayakan pada segmen penutup konsert yang menghimpunkan lebih 65,000 penonton itu.
Segalanya bermula dengan satu mesej WhatsApp, dua bulan sebelum konsert berlangsung, apabila pasukan Bianca Bella menerima khabar daripada pengurus Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak, yang meminta mereka mencari material songket dengan warna hijau sebagai pilihan utama.
“Kami benar-benar tidak sangka. Pada saat itu, kami sedar ini bukan busana biasa, ini adalah busana untuk satu sejarah besar,” kongsi Pengasas Bersama Bianca Bella, Amirul Safwan Nordin.
Menurutnya, selepas pertemuan khas bersama Siti Nurhaliza dan Rozi di pejabat, proses mereka busana dimulakan dan ia merupakan hasil idea bersama dengan matlamat jelas untuk menampilkan kelainan berbanding persalinan terdahulu.
Amirul Safwan menambah, konsep rekaan busana itu mengambil inspirasi daripada pakaian tradisi Puteri Perak yang dipadankan dengan sentuhan serta elemen ‘Miss World’, menggunakan material songket tempatan dengan perincian manik jahitan tangan.
“Paling penting potongan yang kami siapakan sesuai dengan pergerakan Siti Nurhaliza yang perlu bergerak dengan tarian dan aksi di pentas,” katanya.
Persiapan busana berkenaan mengambil masa hampir sebulan, dengan seluruh pasukan Bianca Bella bekerja tanpa henti sehingga ke hari konsert.
Tekanan tersebut diakui besar, lebih-lebih lagi apabila busana itu dipilih untuk segmen penutup, segmen paling dinanti dan paling diingati oleh peminat.
“Ini konsert 30 tahun perjalanan seni TokTi. Persoalan ‘boleh ke kami buat?’ sentiasa bermain di fikiran. Ada malam kami langsung tak lena tidur memikirkannya,” katanya lagi.
Bagaimanapun, segala kegusaran terlerai apabila persalinan songket itu menerima pujian sewaktu raptai penuh.
Lebih manis, suami Siti iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut memuji sendiri busana tersebut, menyifatkan material, rekaan dan perinciannya tampak sangat mewah serta menyerlah di atas pentas gergasi berkenaan.
Amirul Safwan menambah, kemuncak sebenar tiba pada malam konsert apabila Siti Nurhaliza menyarungkan persalinan songket hijau itu pada segmen penutup dan melakukan aksi lompat keluar ke atas pentas, satu momen spontan yang menjadi bualan hangat peminat serta tular di media sosial.
Baginya, busana tersebut bukan sahaja mengiringi detik penamat konsert, malah menjadi saksi kepada satu momen ikonik dalam sejarah kerjaya Biduanita Negara.
“Melihat rekaan kami dipakai pada detik penutup dan merakam momen itu secara langsung di hadapan puluhan ribu penonton adalah sesuatu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.
“Malah saya dan pasukan yang terdiri daripada 10 orang semuanya masih terasa bagaikan mimpi idola yang kami lihat ketika masih budak hingusan kini menyarung baju yang kami siapkan dan kami menjadi sebahagian dari episod kerjaya seni penyanyi nombor satu negara,” katanya.
Bianca Bella turut berkongsi satu kisah bermakna yang menggambarkan keperibadian Siti Nurhaliza di sebalik kemegahan pentas.
Menurut mereka, penyanyi Menamakanmu Cinta itu sendiri pernah menawarkan untuk membawa mesin jahit dari rumah bagi memudahkan sebarang kerja alterasi pada hari konsert.
“Tak mudah seorang Biduanita Negara sanggup bawa mesin jahit sendiri ke belakang pentas. Itulah sebabnya beliau disayangi semua,” ceritanya.
Untuk rekod, butik Bianca Bella ditubuhkan pada tahun 2022 dan beroperasi sepenuhnya di Duyung, Melaka.
Nama mereka mula menjadi perhatian selepas menghasilkan persalinan merah untuk Siti Nurhaliza sempena Tahun Melawat Melaka 2024 menerusi persembahan Senandung Anak Melaka dan Kurik Kundi.
Momen tersebut menjadi tular dan membuka pintu kepada pelbagai tawaran lain, termasuk busana songket untuk Konsert Legacy 30 serta beberapa video muzik.
Kini, Bianca Bella sedang merancang untuk memperkenalkan koleksi songket moden khas untuk bakal pengantin, selain koleksi RTW nikah yang masih dalam peringkat perancangan.
Harapan mereka agar setiap rekaan yang dihasilkan untuk Siti Nurhaliza terus diterima baik oleh peminat, selain merealisasikan impian membuka cawangan di luar Melaka suatu hari nanti.
“Kami berterima kasih kepada TokTi, Kak Rozi dan seluruh pasukan Bianca Bella. Ini bukan sekadar projek, ini adalah satu sejarah yang akan kami kenang sepanjang hidup,” katanya.
Amirul Safwan turut berkongsi pengalaman dan momen menyiapkan busana tersebut menerusi hantaran di media sosial akaun Bianca Bella yang menerima reaksi positif daripada peminat serta pelanggan.
Dalam perkongsian itu, dia meluahkan rasa terharu meskipun masih menganggap diri mereka bertatih dalam industri fesyen, namun kepercayaan yang diberikan Siti Nurhaliza disifatkan sebagai satu penghargaan besar buat jenama tersebut.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Singapura, Iskandar Ismail, tidak menyangka persembahannya menerusi lagu Iris dan Despacito pada konsert separuh akhir Gegar Vaganza 12 (GV12) menerima ‘standing ovation’ daripada ketiga-tiga juri, termasuk maestro muzik Datuk Ramli MS.
Menurut Iskandar, detik tersebut benar-benar menyentuh perasaannya, apatah lagi apabila pujian itu datang daripada barisan figura yang amat dikaguminya.
“Sebenarnya saya memang tak sangka. Bila saya nampak Tok Ram berdiri, saya ingatkan dia ingin keluar ke tandas. Bila dia kekal berdiri di posisinya itu lalu tepuk tangan dan diikuti dua juri yang lain, saya rasa seperti nak menangis.
“Saya terharu bila pengiktirafan itu diberikan daripada ketiga-tiga juri yang amat saya hormati,” katanya, pada malam Ahad.
Walaupun berdepan tugasan mencabar, Iskandar merasakan segala persiapan dan latihan intensif yang dilaluinya sepanjang minggu tersebut nyata berbaloi.
“Alhamdulillah, saya rasa persiapan saya pada minggu ini sangat berbaloi. Tugasan ini sangat susah. Semput saya nak menyanyi. Selain menyanyi, saya kena berjoget pula.
“Bahagian rap pula agak panjang. Saya terpaksa curi nafas sikit-sikit. Saya pernah menyanyikan lagu ini tapi ia sudah agak lama.
“Saya buat homework mengenai lagu ini sehingga saya tak dapat nak luangkan masa bersama keluarga. Walaupun isteri ikut saya ke Kuala Lumpur, tapi fokus saya untuk hafal dan bawakan lagu ini dengan baik,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Iskandar tidak menafikan impiannya untuk bergelar juara GV12, namun tetap berwaspada dengan persaingan sengit daripada finalis lain.
“Insya-Allah, memang itulah yang saya impikan namun, persaingan saya sangat sengit. Pada saya, Nubhan, Mendua dan Mark Adam mempunyai kualiti yang sangat unik.
“Mark Adam sentiasa ada elemen kejutan di setiap persembahan. Nubhan dan Mendua pula mereka punyai kekuatan dari segi vokal.
“Jadi, saya harus menjaga kesihatan dan stamina. Saya akan jogging dan berenang. Dalam masa sama kena hafal lirik dan tarian,” katanya lagi.
Sementara itu, Iskandar turut memaklumkan dirinya bersedia untuk terus kekal aktif dalam industri seni selepas tamat GV12.
“Jika ada peluang, saya akan berhijrah ke Kuala Lumpur. Namun, biarlah langkah itu perlahan-lahan dahulu.
“Saya sudah bersedia dengan beberapa buah projek dan ia memerlukan saya berulang alik dari Singapura dan Kuala Lumpur.
“Jika ada rezeki untuk saya bekerja terus di Kuala Lumpur ini, saya akan bawa keluarha saya sekali untuk pindah ke sini. Saya memang mahu tembusi pasaran di Malaysia ini,” akhirinya.
Persembahan luar biasa yang ditampilkan oleh Iskandar melayakkan dirinya berada di kedudukan pertama dengan markah keseluruhan sebanyak 77.75 peratus.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon Amyra Rosli berpendapat media sosial bukanlah platform yang sesuai untuk meluahkan perasaan kerana sifatnya yang terlalu terbuka.
Bagi Amyra, kehidupan peribadi, kerjaya dan keluarga seharusnya diasingkan dengan baik agar tidak bercampur aduk, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hal sensitif.
“Saya memang tidak bersetuju untuk berkongsi luahan di media sosial kerana ia terlalu luas dan terbuka.
“Apabila kita berkongsi segalanya, tiada lagi batasan untuk kehidupan peribadi.
“Kehidupan peribadi dan kerjaya perlu diasingkan terutamanya apabila melibatkan keluarga.
“Simpanlah perkara yang bermakna sebagai memori, bukan untuk membuktikan siapa paling bahagia,” katanya, petik Gempak.
Dalam pada itu, bintang drama Nur ini turut menitipkan pesanan agar individu yang ingin meluahkan perasaan mencari saluran yang betul selain menasihati orang ramai supaya tidak membuka aib sesiapa.
Malah dia juga mengambil pelbagai hal yang berlaku sebagai teguran untuk diri-sendiri juga.
“Jika perlu meluahkan perasaan, carilah tempat yang betul dan berjumpalah dengan pakar.
“Media sosial ibarat cermin, apa yang kita cakap tentang orang lain, akhirnya akan kembali kepada kita.
“Apabila membuka aib, bukan diri sendiri sahaja yang terkesan, malah keluarga turut menerima tempiasnya,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Amyra sekeluarga turut diperkenalkan sebagai Duta Ramadan dan Raya Siti Khadijah 2026, sekali gus memeriahkan kempen Gema Ramadan Siti Khadijah.
Kehadiran mereka mencerminkan nilai kemesraan, kesederhanaan dan kekeluargaan yang menjadi teras kepada nilai jenama berkenaan.
Koleksi keluarga ini direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden tanpa mengabaikan nilai tradisi, kesopanan dan keselesaan.
Dalam pada itu, Siti Khadijah turut berkolaborasi bersama TV Al-Hijrah sempena Konvensyen Hijrah Bergema 2025, yang berlangsung pada 30 dan 31 Disember 2025 lalu di PICC Putrajaya.
Turut dilancarkan adalah Koleksi Ramadan & Raya 2026, MUSHAFE – Warisan Darul Iman, yang diinspirasikan daripada Mushaf Terengganu iaitu sebuah manuskrip Islam yang kaya dengan nilai seni, sejarah dan budaya.
Kempen JEDA – Damai Dalam Waktu juga diperkenalkan. Ia menjadi satu ajakan untuk kita berhenti sejenak, memperlahankan langkah dan kembali mencari ketenangan dalam dunia yang serba tergesa-gesa.
Melalui mesej Pause for Peace ini, Siti Khadijah mengajak masyarakat untuk mengambil ruang jeda bukan untuk lari, tetapi untuk kembali kepada diri, keluarga dan Ilahi.
Kempen ini menjadi salah satu usaha jenama ini dalam menyambut Ramadan serta Syawal dengan jiwa yang lebih damai serta tenang.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Kuala Lumpur malam tadi bukan sahaja bergema dengan persembahan hebat penyanyi Shila Amzah, malah turut menjadi pentas penuh emosi yang...