
Selepas setahun menyulam cinta dan mengenali hati budi, pengacara dan penyampaian radio Radin bersyukur apabila impian untuk mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan hatinya, Nur Amirah akhirnya menjadi kenyataan.
Menurut Radin, dia dan isteri saling sepakat untuk tidak terlalu menguar-uarkan perhubungan mereka sehinggalah majlis akad nikah berlangsung.
“Nak kata hubungan ini terlalu lama pun tidak sebenarnya. Perkenalan kami ini tidak cepat atau lambat. Kata orang, sedang eloklah. Kami bersetuju untuk merahsiakan hubungan sehinggalah hari akad nikah.
“Bila masing-masing sudah masuk fasa matang, saya rasa kita tak perlu menguar-uarkan perkara yang belum terjadi. Alhamdulillah, hari ini adalah hari bahagianya,” katanya kepada MH.
Radin dan Amirah ditemui di majlis akad nikah yang berlangsung di sebuah premis acara di Ampang, Selangor pada Jumaat.
Jelas penyampai radio Era ini lagi, selain punyai sifat yang lucu, dia juga tertarik dengan keikhlasan ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.
“Keperibadiannya tak sama dengan wajahnya. Jika kita lihat, wajahnya nampak ayu dan sopan santun tapi ada juga lucunya. Saya juga tertarik dengan keikhlasannya dan dia sentiasa ada bersama saya.
“Amirah adalah seorang ibu tunggal dan punyai tiga orang anak. Namun, dia tidak meletakkan halangan untuk ke fasa seterusnya. Kami masing-masing bersetuju,” ujarnya.
Sementara itu, Amirah pula menyifatkan Radin sebagai seorang lelaki yang sangat budiman dan sentiasa mengutamakan kebahagiaan orang lain melebihi dirinya sendiri.
“Radin seorang yang baik hati dengan semua orang. Tak kira siapa pun. Dia akan utamakan orang lain sebelum dirinya sendiri.
“Ada kalanya, dia selalu bagi yang terbaik untuk orang lain walau layanan yang diterimanya tak sama dengan apa yang dia lakukan.
“Sifat baik hati itu yang buat saya tertarik. Dia seorang yang sangat istimewa,” katanya.
Malah, Amirah turut memaklumkan dirinya menghormati keputusan Radin untuk tidak terlalu mendedahkan hubungan mereka kepada umum sebelum ini.
“Keputusan yang Radin buat adalah untuk kebaikkan kami bersama. Sebagai pasangan, apa sahaja keputusan yang dia buat, selagi tidak melanggar hukum agama, ibu bapa, dan adat, saya hormat dan ikut sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai penerimaan anak-anak, Amirah mendedahkan mereka juga gembira dengan kehadiran Radin yang dilihat tidak kekok untuk menyesuaikan diri.
“Anak-anak sangat seronok. Radin adalah seorang yang sangat penyayang. Dia sangat mudah sesuaikan diri dengan keadaan dan sesiapa pun,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Radin turut meyifatkan kehadiran tiga orang cahaya mata merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul dengan penuh rasa syukur.
“Saya ada Amirah. Dia akan bantu dan sentiasa ada bersama saya. Saya rasa perkara ini bukan satu bebanan. Ia adalah satu tanggungjawab yang baharu,” akhirinya.
Terdahulu, Radin dan Amirah telah selamat diijabkabulkan dengan hanya sekali lafaz.
Pada majlis sama, Radin turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM15,020.26, sebentuk cincin dan sebuah pohon emas sakura.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Kredit Foto: Instagram Radin & We.Candidpicturesstudio.com