
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam satu taklimat pada Khamis, mengesahkan bahawa tiada mangsa yang terselamat dalam kejadian pesawat penumpang milik American Airlines (AAL) yang bertembung di udara dengan sebuah helikopter tentera.
Seramai 64 orang, termasuk penumpang dan anak kapal pesawat, serta tiga anggota tentera di dalam helikopter, telah terkorban.
“Ini adalah malam yang gelap dan menyakitkan dalam sejarah negara kita. Ia adalah satu tragedi yang amat dahsyat. Sebagai satu negara, kita berkabung atas kehilangan setiap nyawa yang terjadi secara tiba-tiba ini,” Ucap presiden AS ke-47 itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines, Robert Isom, turut menyatakan kesedihan syarikat penerbangan itu terhadap insiden malang yang berlaku.
Pesawat yang terlibat adalah sebuah Bombardier CRJ700 yang dikendalikan oleh PSA Airlines, anak syarikat American Airlines.
Imbas kembali, pesawat dengan nombor penerbangan 5342 itu sedang dalam penerbangan dari Wichita, Kansas, ke Washington, D.C., sebelum bertembung dengan sebuah helikopter Sikorsky H-60 sekitar jam 9 malam, menurut kenyataan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Pesawat Bombardier CRJ700 ini tidak mempunyai sejarah masalah teknikal dan sering digunakan untuk penerbangan jarak dekat.
Menurut beberapa laporan media, pesawat tersebut membawa sekumpulan atlet luncur ais, jurulatih mereka, serta ahli keluarga yang sedang dalam perjalanan ke ibu negara.
++Untuk berita terkini serta hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI