Selepas 20 tahun penghasilan novel Tombiruo, penulis, Ramlee Awang Murshid, kini boleh tersenyum apabila naskhah itu bakal berada di layar perak.

Mengulas mengenai filem arahan Nasir Jani dan Seth Larney itu, Ramlee berkata, dia berpuas hati dengan hasil keseluruhan filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang dijadualkan ditayangkan di pawagam 12 Oktober depan.

Menurut Ramlee, filem tersebut secara tidak langsung membantu merealisasikan impian pembaca setianya yang mahu melihat tulisannya ke layar perak.

Ramlee yang terlibat dalam pembikinan filem itu turut memuji usaha semua produksi yang terlibat.

Pesan Ramlee Awang Murshid Buat Pembaca Novel Tombiruo

Bagaimanapun Ramlee sempat mengingatkan pembaca Tombiruo agar tidak menyamakan jalan cerita novel dengan filem ini kerana baginya agak mustahil untuk menyamakan cerita dalam novel dan filem.

“Sebagai penulis dan individu di belakang tabir filem ini, saya faham, bukan mudah mengadaptasi keseluruhan jalan cerita novel ini di layar perak.

 

“Sebab itu bagi yang mahu mengetahui perjalanan Ejim atau Tombiruo secara details, mereka harus baca novel ini. Tapi itu tidak bermakna bagi mereka yang belum membaca, mereka tidak faham jalan cerita filem ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tayangan Malam Gala Filem Tombiruo, di MBO The Starling, Damansara, baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya pendapatnya mengenai prestasi Zul Ariffin di dalam filem ini, Ramlee berkata, dia berpuas hati dengan lakonan aktor itu dan lakonannya berada pada tahap terbaik.

“Walaupun tanpa skrip dan kita tidak boleh melihat reaksi wajahnya, namun dari gerak tubuh sahaja, Zul sudah cukup memberikan persembahan yang terbaik,” katanya yang berpendapat pelakon lain juga mungkin sukar menterjemahkan karakter Ejim kerana watak itu hanya berinteraksi menerusi bahasa tubuh dan pandangan mata sahaja.

Pesan Ramlee Awang Murshid Buat Pembaca Novel Tombiruo

IKLAN

Bagaimanapun, Ramlee menganggap Zul berjaya dan berpuas hati dengan lakonan pelakon itu.

Ramlee berkata, sekiranya filem ini mendapat sambutan, dia bersedia terlibat dengan pembikinan sekuel membabitkan cabaran lebih besar yang perlu dilalui Ejim di bandar besar.

Bukan itu sahaja, penulis berusia 49 tahun ini juga sedang sibuk menyiapkan siri terbaru Tombiruo dengan jalan cerita yang lebih menarik.

Tombiruo: Penunggu Rimba menyaksikan gabungan empat syarikat iaitu Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan berkolaborasi buat kali pertama selaku penerbit.

IKLAN

Selain Zul Ariffin, filem ini turut dibintangi Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Atu Zero, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa dan ramai lagi.

Pesan Ramlee Awang Murshid Buat Pembaca Novel Tombiruo

Filem kisah aksi ini mengenai Ejim, lelaki bertopeng yang digelar sebagai Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai penunggu rimba.

Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci oleh penduduk kampung.

IKLAN

Apabila Wong dan kuncu-kuncunya membuat kacau di kampung untuk meneruskan aktiviti empangan, satu insiden telah berlaku dan menimbulkan kemarahan Tombiruo.

Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya.

Wartawan Wan Suraya yang mengikuti perkembangan isu syarikat Tan Sri Berham turut mengikuti jejak Tombiruo.

Wan Suraya dapat rasakan Tombiruo tidak membahayakan seperti diperkatakan.

Namun, apabila Amiruddin dan Tombiruo bertemu, mereka bertarung demi membela nasib mereka yang disayangi. Dengan semangat dari hutan telah mengiringi kekuatan Tombiruo.

Tetapi hakikatnya, sebuah rahsia di antara mereka berdua yang sudah lama tersimpan terbongkar. Apakah kaitan mereka berdua sebenarnya? Siapakah dalang di sebalik insiden yang berlaku selama ini?

Teks oleh: Aqmar Mustaza

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI