
Hidup tidak selalunya berjalan seperti yang dirancang. Itulah hakikat yang dilalui oleh seorang bekas ahli kumpulan lawak legenda Indonesia, Srimulat, Muhammad Fakih Santoso yang meneruskan kelangsungan hidup sebagai badut demi menyara diri.
Bekas pelawak yang berusia 68 tahun ini pernah menjadi sebahagian daripada barisan kumpulan pelawak popular iaitu Srimulat Surabaya sekitar tahun 1984 hingga 1986.
Pada era itu, beliau tampil dengan nama pentas Parlindungan Margasatwa dan kerap membuat persembahan di pentas-pentas hiburan bersama kumpulan berkenaan, meskipun tidak sepopular beberapa nama besar lain dalam Srimulat.
Namun, selepas berundur daripada dunia lawak arus perdana, menurut laporan detik.com. Fakih memilih untuk berhijrah ke Denpasar, Bali dan menetap di sana selama lebih tiga dekad. Kehidupan selepas populariti tidak semudah yang disangka, malah memaksanya mencuba pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup.
Sekitar 15 tahun lalu, Fakih mengambil keputusan untuk kembali ke dunia hiburan, tetapi dalam skala yang jauh berbeza. Dengan nama pentas Mr. Brekele, beliau kini bekerja sebagai badut, menghiburkan kanak-kanak di taman rekreasi, tadika serta majlis-majlis kecil.
Menurut Fakih, walaupun kerjayanya hari ini jauh daripada gemerlapan pentas besar Srimulat suatu ketika dahulu, beliau tetap bersyukur kerana masih mampu mencari rezeki dengan bakat yang dimiliki.
BACA JUGA: Pelawak Veteran Indonesia, Sri Sumiarsih Meninggal Dunia
Bayaran yang diterima sebagai badut mencecah antara Rp500,000 hingga Rp700,000 sejam, malah ada kalanya beliau menerima beberapa tempahan dalam sehari.
Sebelum bergelar badut sepenuh masa, Fakih pernah bekerja sebagai tukang jahit. Namun, faktor kesihatan serta pengalaman kemalangan yang menyebabkan kecederaan pada kakinya mendorong beliau meninggalkan pekerjaan itu dan kembali ke dunia persembahan, termasuk menjadi pengacara majlis dan melakukan aksi magis ringkas.
Walaupun kini hidup sederhana, Fakih mengakui kenangan bersama Srimulat kekal terpahat dalam ingatan. Malah, beliau masih berasa bangga pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan lawak yang cukup berpengaruh dalam sejarah hiburan Indonesia.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




