Rentetan isu mempersendakan nama bekas pelari pecut kebangsaan Watson Nyambek dalam sebuah rancangan komedi Sukan Tak Sentral, Azizul Ammar Abu Hassan atau lebih dikenali sebagai Ammar Titan, 30, telah didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan secara sengaja.
Selain Ammar, produser program Sukan Tak Sentral terbitan Primeworks Studios Abdul Ghani Mohd. Mokhtar turut didakwa atas pertuduhan yang sama di Mahkamah Majistret Sibu.
Jika disabit keasalahan, kedua-dua individu ini bakal berdepan dengan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Majistret Saiful Sayoti melepaskan kedua-dua tertuduh dengan jaminan RM3,500 bersama seorang penjamin.
Kedua-dua tertuduh turut diarah untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan semula kes pada 4 Julai depan.
Ketelanjurannya dalam menyebut ‘Nyambek’ mengikut bunyi binatang sebanyak dua kali telah memakan diri dan akhirnya menyebabkan dirinya bersama beberapa krew terlibat digantung kerja sehingga kes ini selesai.
Program Sukan Tak Sentral, Sebuah rancangan komedi dan berkonsep hiburan ini telah dihentikan tayangan serta merta sebaik isu ini diketengahkan.
Ammar yang mengacarakan program ini bersama Marsha Milan Londoh didakwa mempersendakan nama mendiang bapa Watson dan telah menyebabkan ‘The Flying Dayak’ berkecil hati.
Selain Ammar dan penerbit rancangan ini, lima krew terbabit juga turut digantung kerja. Bukan itu sahaja, Ammar juga tidak akan muncul di dalam mana-mana program terbitan Primeworks Studios.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI