Berita

“Penyanyi Nombor Satu Pun Ada ‘Haters’, Apatah Lagi Saya,” – Nabila Razali Kalis Kecaman, Tapi Takkan Berdiam Jika Keluarga Disentuh

Share

Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengakui sudah lali berdepan kecaman, selain menganggap perkara tersebut sebagai lumrah dalam dunia hiburan.

Menurut Nabila atau lebih mesra disapa Bella, dia sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap orang berhak memberikan pendapat.

 

 

“Saya selalu berpegang pada satu perkara… kalau penyanyi nombor satu negara pun ada ‘haters’, apatah lagi saya.

“Bukanlah saya hendak membandingkan diri, tetapi itulah hakikatnya.

“Sedangkan orang nombor satu dalam kelas pun ada yang yang benci, apatah lagi saya yang kecil ini yang baru 13 tahun menapak dalam industri,” katanya kepada MH.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Cukup Sampai Sini, yang berlangsung di The Arch Galeries, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Tidak Terlalu Melenting Di Media Sosial

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Pematah Hati itu tidak menolak kemungkinan bahawa ada dalam kalangan ‘haters’ yang sebenarnya turut meminatinya.

“Jika betul mereka sebenarnya begitu, Alhamdulillah. Mungkin itu cara mereka untuk mendekati saya supaya saya perasan kehadiran mereka.

“Saya faham perkara itu, sebab itulah saya tidak terlalu marah. Saya juga jarang melenting di media sosial.

“Kalau ada pun, biasanya kerana perkara tersebut menyentuh sesuatu yang saya tidak gemari,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Nabila mengakui pernah terkesan dengan komen-komen negatif, namun kini lebih matang dalam mengawal emosi.

“Kalau dahulu, memang ada komen yang membuatkan saya terasa. Ada kata-kata yang melekat di hati seperti melibatkan ibu bapa atau keluarga saya.

“Ada yang pernah menyoal ’Mak bapa dia ni tak malu ke ada anak macam ni?, selain itu ada juga yang berkata ‘Lelaki dia mesti kena tahan telinga’.

“Itu yang saya kurang gemar kerana ia tiada kaitan.

“Namun jika kritikan itu berkaitan dengan nyanyian atau perkara yang boleh diperbaiki, saya boleh terima,” jelasnya.

Hanya Bersuara Jika Keluarga Disentuh

Bagaimanapun, ibu kepada seorang cahaya mata itu menegaskan dia hanya akan memberi reaksi apabila komen tersebut menyentuh perkara sensitif, terutama melibatkan keluarganya.

“Biasanya, jika perkara itu melibatkan keluarga, baru saya akan bersuara.

“Setakat komen-komen yang lain, saya okey sahaja. Saya membacanya sambil ketawa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabila telah melancarkan single Cukup Sampai Sini hasil ciptaannya sendiri bersama composer Justin Seow Seng Teck.

Kini, lagu tersebut boleh didengari di semua platform penstriman digital yang telah dilancarkan pada 11 September lalu dan muzik video (MV) rasmi telah ditayangkan di saluran YouTube mulai hari ini.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza