
Pelakon popular Hollywood, Penn Badgley mengejutkan peminat apabila mendedahkan amalan hariannya yang tidak dijangka iaitu membaca al-Quran setiap malam sebagai bentuk meditasi.
Menerusi wawancara bersama USA TODAY, pelakon berusia 37 tahun itu berkata, dia menyimpan senaskhah al-Quran di sisi katilnya dan sering merenung petikan ayat sebagai cara untuk kembali berpijak di bumi nyata.
“Saya akan bermeditasi dengan satu petikan al-Quran sebelum tidur, ia membantu saya untuk lebih tenang dan hadir dalam diri,” katanya yang terkenal dengan watak Joe Goldberg dalam siri YOU.
Badgley yang bukan penganut Islam berkata, minatnya terhadap kitab suci umat Islam itu tidak berkait dengan usaha memeluk agama, sebaliknya bertujuan mencari hikmah dan panduan hidup yang bersifat sejagat.

“Amalan ini bukan soal kepercayaan semata-mata, sebaliknya peringatan tentang gambaran besar kehidupan. Ia ibarat ‘reset’ minda saya daripada kesibukan dan tekanan dunia hiburan di Hollywood,” tambahnya.
Pelakon yang juga menganut kepercayaan Baháʼí sejak kecil itu turut menekankan bahawa ajaran agama yang dianutinya menggalakkan penghargaan terhadap kepelbagaian agama serta kesatuan manusia.
Dia yang juga seorang bapa kepada seorang cahaya mata turut mengakui dirinya agak tidak teratur pada siang hari namun tetap berdisiplin meluangkan masa untuk refleksi diri sebelum tidur.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Sumber: The Islamic Information, USA Today
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI