
Ashhry
Pempengaruh yang juga usahawan, Ashhry Atan sememangnya dikenali dengan sikap pemurahnya.
Ashhry yang juga adik kepada pempengaruh terkenal iaitu Anas Zahrin itu percaya, amalan memberi dan bersedekah akan membawa pulangan yang baik dalam kehidupan serta perniagaan.
Terbaharu, Ashhry yang juga pemilik Restoran Ashhryshoshedap yang mula beroperasi di Nongchik Riverside, Johor Bahru sejak 28 Februari 2022 itu tampil meraikan lebih 500 jururawat bersempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026 yang disambut pada 12 Mei lalu.
Ashhry bersama staf serta chef restorannya telah menyediakan pelbagai hidangan secara percuma dengan peruntukan melebihi RM10,000.
Dia turut menitipkan dedikasi terhadap keraian berkenaan menerusi hantaran terbaharunya di aplikasi Threads.
Baca Artikel Lain;
“Lebih 20 jenis menu makanan Melayu dan aneka manisan dijamu kepada lebih 500 jururawat seluruh Johor Bahru termasuk dari Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail, Kumpulan Perubatan Johor dan sebagainya.
“Paling manis dan amat saya hargai ialah apabila chef bertugas sudah siap siaga ‘berperang’ di dapur seawal jam enam pagi lagi.
“Lebih membahagiakan apabila melihat senyuman lebar setiap jururawat yang hadir saat dan usai menikmati menu disediakan.
“Nampak mereka semua gembira sambil bersua muka walaupun tidak saling mengenali, ia beri satu kepuasan buat diri,” katanya.
Menurut Ashhry lagi, inspirasi untuk terus berkongsi rezeki hadir daripada ibunya, Hajah Hamida Haji Dan selain galakan dari Anas sendiri yang gemar menggembirakan ramai orang menerusi sumbangan serta jamuan makanan.
“Selama ini kebanyakan meraikan Hari Polis, Hari Guru dan sebagainya. Tak lupa meraikan jururawat dedikasi yang selama ini berjuang di barisan hadapan. Semua ini juga sebagai tanda terima kasih buat golongan mulia ini.
“Saya gembira kerana dapat beramah mesra dengan jururawat yang sudah berkhidmat selama berbelas tahun. Bahkan ada yang sudah lebih dua dekad berbakti tanpa kenal penat lelah.
“Jujur saya tidak mampu menyembunyikan rasa sebak kerana keraian dan sambutan ini menjadi julung kali dianjurkan restoran milik sendiri,” katanya lagi.
Ditanya mengenai sikap pemurahnya yang sering dipaparkan di media sosial, Ashhry menjelaskan dia tidak pernah berniat untuk menunjuk-nunjuk setiap bantuan yang diberikan.
“Tiada langsung niat untuk menunjuk-nunjuk sikap riak bersedekah atau membantu peniaga kecil mahupun mereka memerlukan. Saya percaya contoh yang baik juga menjadi ruang murni untuk menggalakkan lebih ramai orang berbuat hal sama.
“Malah saya juga tidak mengharapkan lebih, cukup doa dipanjangkan dari semua dengan harapan moga perjalanan empayar perniagaan Ashhryshoshedap akan terus maju.
“Malah jika tiada aral melintang cawangan kedua restoran saya di R&F Johor Bahru dijangka pembukaan dan pelancarannya Jun depan. Restoran Ashhryshoshedap juga pernah dinobatkan sebagai Johor The Best Restaurant 2025,” katanya.
Untuk rekod, Restoran Ashhryshoshedap cukup terkenal dengan menu seperti Asam Pedas Ikan Pari, Daging Salai Masak Lemak serta aneka pencuci mulut unik seperti “Kura Kura Mencintaimu”.
Antara ‘killer menu’ yang turut menjadi pilihan pelanggan ialah Creamy Butter Clam, Spaghetti Salted Egg, Sotong Goreng dan Ikan Talapia Goreng Rangup. Egg dan Sotong Goreng, Ikan Talapia Goreng Rangup.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini