Pelakon, penerbit dan pengarah, Amin Khan atau nama sebenarnya Abdul Amin Mohd Kasim kini mula menebar roti canai kembali selepas 30 tahun meninggalkan bidang ini untuk menambah sumber pendapatan.

Dia kini menjadi penebar roti canai di sebuah gerai yang terletak di Taman Indah, Sikamat, Seremban sejak dua minggu yang lalu.

Apabila ditanya tentang apa keseronokan yang dirasai selepas menebar roti canai kembali, dia mengatakan dia teringat kembali nostalgia yang pernah dilaluinya 30 tahun dahulu.

“Keseronokannya ialah setelah saya mencuba menebar dalam masa dua minggu ini, saya terasa balik apa yang saya rasa 30 tahun lalu di mana ketika itu saya masih muda dan sekarang ini saya sudah berumur dah hampir 62 tahun dan ianya adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

 

“Cuma perbezaan sekarang ini, perniagaan saya ini diwar-warkan di dalam media sosial dan semua orang tau saya seorang pelakon datang kembali untuk membuat roti canai,” katanya.

Ceritanya lagi, kalau dulu di era 70-an ketika itu tiada media sosial untuk mempromosikan perniagaan dan ini adalah perbezaan yang dirasakan olehnya.

Amin juga memberitahu pada awal perniagaannya baru-baru ini ada pelanggan yang terkejut dan tidak menyangka penebar roti canai ini adalah seorang pelakon.

“Pelanggan yang datang pada mulanya agak terkejut dan dia kata betul ke ni pelakon yang buat roti canai ni dan saya kata ye betul dan ini adalah kerja sampingan,” ceritanya lagi.

Menurutnya lagi, rata-rata pelanggan yang hadir memuji rasa keenakan roti canai buatannya dan dia rasa bersyukur kerana pengalamannya menebar roti canai 30 tahun dahulu masih kekal dan hasilnya tetap sama tidak berubah.


Pelakon Amin Khan tak malu jadi penebar roti canai oleh sinartv

Sumber: Sinar Harian
Wartawan: Syamilah Zulkifli

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI