Pandangan Tiap Orang Berbeza, Ini Pendapat Scha & Awal Ashaari – “Lebih Baik Jangan Buat Langsung, Kita Tak Perlu Untuk Menjawab.”

Share

Pelakon dan hos, Scha Alyahya mengakui dia dan suami, Awal Ashaari lebih berhati-hati terhadap apa-apa muat naik di media sosial kebelakangan ini bagi mengelak salah faham sesama peminat.

Bagi Scha, setiap orang mempunyai pemahaman yang berbeza terhadap sesuatu perkara dan adalah lebih baik untuk tidak mencetuskan apa-apa provokasi.

“Jujurnya, saya ada mengingatkan mengenai perkara itu kepada suami. Saya kata, ia bukan apa yang kita lakukan semata-mata, tapi apa yang orang luar pandang atau tafsir.

“Sebab bagi saya, penerimaan setiap individu itu berbeza. Jadi kami pilih untuk kurangkan apa-apa yang boleh timbulkan kontroversi atau minimalkan perkara yang tidak perlu.

“Lebih baik jangan buat langsung dan kita tidak perlu untuk menjawab. Kalau kami tidak buat apa-apa, maksudnya tidak akan ada jugalah sebarang reaksi dari orang ramai,” katanya.

Scha dan Awal berkata demikian, sebagai mengulas mengenai tindakan sesetengah selebriti yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini ketika negara sedang berusaha memutuskan rangkaian pandemik Covid-19.

Pasangan itu ditemui di Majlis Berbuka Puasa & Pelancaran Schambal di Cookhouse, TTDI Damansara baru-baru ini.

Sementara itu, Awal pula menjelaskan mungkin sesetengah daripada mereka sudah mempunyai dokumen sebagai syarat untuk merentas negeri dan sebagainya.

“Sebagai selebriti, bagi saya mereka pun sudah boleh bezakan dan buruk. Sekiranya ada yang berbuat demikian, saya rasa mesti mereka sudah ada dokumen yang diperlukan.

“Kalau saya secara logiknya, bila dah buat salah tak kan nak bagitahu orang? Jadi andai ada yang muat naik di media sosial dan sebagainya, sudah pasti mereka mungkin ada keizinan.

“Tapi saya percaya, kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Orang luar mungkin tidak tahu di sebaliknya, mereka yang berbuat demikian ini mungkin atas dasar bekerja yang berkaitan,” kata Awal.

Faham dengan situasi semasa, Scha pada masa sama positif dan berdoa agar fasa pandemik ini akan berakhir secara perlahan-lahan.

“Semua orang sensitif ketika ini. Di pihak saya dan suami, sebagai selebriti yang menjadi perhatian kita kurangkanlah apa yang patut,” katanya.

IKLAN