Uncategorized

“Orang Yang Kita Kenal Boleh Jadi Asing,” – Ryzall Noh Pertaruh Natijah Cinta, Kisah Patah Hati Yang Ramai Pernah Alami

Share

Penyanyi kelahiran Singapura, Ryzall Noh, kini tampil dengan single terbaharu berjudul Natijah Cinta, sekali gus menjadi kesinambungan perjalanan seninya sejak bergerak secara solo.

Sebelum ini, Ryzall dikenali sebagai vokalis kumpulan Audionauts yang aktif sekitar tahun 2010 hingga 2017.

Sepanjang tempoh tersebut, kumpulan itu berjaya meraih pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah Kumpulan/Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2013, Lagu Tertinggi Royalti di Anugerah Compass Singapura sebanyak dua kali serta Artis Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik 2015.

Angkat Kisah Realiti Sebuah Hubungan

Menurut Ryzall, judul Natijah Cinta membawa maksud keputusan, kesimpulan, kesudahan atau akibat daripada sesuatu peristiwa dan tindakan.

“Natijah bermaksud keputusan, kesimpulan, kesudahan ataupun akibat daripada sesuatu peristiwa atau tindakan. Bagi saya, lagu ini berkisarkan tentang realiti sebuah hubungan. Apabila janji yang dibina bersama akhirnya berubah perlahan-lahan runtuh tanpa kita sedari.

“Lagu ini bukan bukan sekadar lagu cinta biasa, tapi lebih kepada rasa kecewa, kehilangan dan penerimaan terhadap perubahan manusia.

“Saya yakin ramai boleh kaitkan kisah lagu ini dengan kehidupan mereka sendiri sebab kadang-kadang, orang yang paling kita kenal tak mustahil akhirnya menjadi orang yang sangat asing dengan kita,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai lagu tersebut, Ryzall mengakui dia sangat menyukai melodi dan lirik yang dihasilkan.

Justeru, dia berusaha memberikan yang terbaik agar kualiti serta keaslian lagu itu dapat dinikmati para pendengar.

Natijah Cinta dicipta oleh  Yazri Malik manakalah lirik oleh Yazri Malik dan Ryzall Noh.

“Antara perkara yang saya paling suka tentang lagu ini adalah melodinya yang senang dihadam dan bahagian korus yang ‘catchy’.

“Saya juga suka akan emosi dan ‘mood’ yang terkandung dalam melodi, lirik hinggalah ke susunan lagu, semuanya membawa rasa yang sangat jujur.

“Saya mahu ketengahkan rasa yang organik dalam lagu ini. Selain itu, apabila anda dengar, ia ada elemen pop rock serta campuran bunyian 90’an dan moden,” jelasnya lagi.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/mereka-layan-saya-macam-geng-whatsapp-siti-nurhaliza-tak-anggap-platform-threads-toksik-papar-sisi-kelakar-bantu-usahawan/

Mahu Lagu Jadi Jambatan Ke Malaysia

Dalam proses menghasilkan lagu tersebut, Ryzall mengakui terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi, terutama dalam memastikan emosi lagu dapat disampaikan dengan tepat.

“Cabaran yang ketara adalah mendapatkan ‘feel’ yang betul untuk merakam lagu ini dengan baik. Selain itu, hal-hal yang melibatkan pengurusan masa, kesihatan mahupun ‘tone’ suara, semua itu saya titikberatkan dalam penerbitan lagu ini.

“Saya memang cerewet apabila melibatkan emosi dalam nyanyian sebab saya tak mahu lagu ini kedengaran terlampau teknikal atau kosong tak berjiwa.

“Proses rakaman dan produksi juga melibatkan banyak eksperimen susunan muzik dan mencari ‘tone’ vokal yang betul-betul saya mahukan. Insya-Allah, hasil usaha ini akan sampai kepada pendengar,” ujarnya.

Ryzall turut meluahkan rasa puas hati terhadap kerjasama bersama Yazri Malik yang bertindak sebagai komposer bersama untuk lagu berkenaan.

“Menurutnya, Yazri sangat memahami arah muzik dan emosi yang ingin diketengahkan, sekali gus menjadikan proses pembikinan Natijah Cinta berjalan lancar menerusi pertukaran idea yang berterusan.

Dalam masa sama, Ryzall berharap Natijah Cinta mampu menjadi pemangkin untuk mengembangkan lagi kerjaya muziknya di Malaysia.

“Malaysia memang antara pasaran dan memiliki pendengar yang dekat di hati saya sejak dulu lagi. Saya juga kerap berulang alik ke Kuala Lumpur dan Johor.

“Harapnya, lagu Natijah Cinta ini boleh menjadi jambatan agar lebih ramai pendengar di Malaysia mengenali muzik saya dan diri saya dengan lebih dekat.

“Apa yang penting, saya harap lagu ini dapat diterima ikhlas oleh semua pendengar tanpa mengira negara dan perkara-perkara lain.

“Saya boleh katakan, Natijah Cinta adalah seperti satu ‘heartbreak’ dalam sebuah lagu,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada para peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.

Lagu Natijah Cinta kini boleh didengari di semua platform digital termasuk Spotify dan YouTube.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH