Categories: Berita Hiburan

Nubhan Fail Kes Komital Terhadap Dr Fie, Mahkamah Tetap Tarikh Baharu…Sedia Tarik Kes Jika Ada Permohonan Maaf

Share

Prosiding pelanggaran perintah mahkamah membabitkan penyanyi Nubhan Ahmad terhadap bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfeq akan disambung pada 10 Ogos depan.

Peguam syarie yang mewakili Nubhan, Mohd Redzuan Ramli memaklumkan, tarikh tersebut ditetapkan oleh mahkamah bagi memberi ruang kepada pihak responden memfailkan afidavit pembelaan berhubung dakwaan yang dikemukakan.

Menurut Mohd Redzuan, ini merupakan prosiding pertama bagi kes komital yang difailkan anak guamnya susulan dakwaan terdapat tiga pelanggaran terhadap perintah mahkamah.

Jelasnya lagi, pelanggaran itu didakwa melibatkan terma yang telah dipersetujui bersama sebelum ini, malah ia merupakan cadangan asal daripada Afifah sendiri.

“Perintah itu didakwa dilanggar sebanyak tiga kali, yang mana ada kejadian berlaku pada tahun lalu dan juga tahun ini.

“Bagaimanapun, buat masa ini kami tidak dapat mendedahkan butiran terperinci mengenai jenis pelanggaran bagi mengelakkan wujudnya unsur prejudis terhadap kes,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.

Nubhan Sedia Tarik Kes Jika …

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan menegaskan tindakan yang diambil oleh Nubhan bukan bertujuan untuk membalas dendam, sebaliknya dibuat selepas pertimbangan yang teliti.

“Tindakan ini bukan atas kapasiti balas dendam. Kami sebenarnya mengambil masa yang cukup lama untuk mempertimbangkan sama ada perlu memfailkan tindakan ini atau tidak.

“Namun, saya difahamkan oleh Nubhan, sekiranya ada permohonan maaf yang dibuat secara suci hati dan ikhlas daripada pihak sana, beliau sedia mempertimbangkan untuk menarik balik kes ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad memilih saluran mahkamah sebagai langkah mempertahankan maruah diri serta membersihkan namanya daripada terus terpalit dengan fitnah dan spekulasi masyarakat.

Malah, Nubhan sebelum ini memilih untuk berdiam diri demi menjaga keharmonian pelbagai pihak.

Namun kerana wujud dakwaan yang dianggap tidak tepat termasuk berkaitan isu hak penjagaan anak akhirnya mendorongnya untuk mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH