Categories: Berita Hiburan

“Nanti Orang Pukul Rata…,” – Beto Kusyairy Pilih Skrip…Tak Mahu Ustaz Jadi Mangsa Persepsi & Elak Watak Penunggang Agama

Share

Aktor Beto Kusyairy menepis dakwaan kononnya dia hanya memilih untuk terlibat dalam projek filem atau siri premium semata-mata.

Menurut Beto, dia sebenarnya tidak pernah menolak tawaran berlakon dalam mana-mana drama televisyen. Namun, pemilihan karyanya banyak bergantung kepada kualiti sesebuah skrip.

“Ada anggapan yang mengatakan saya cuma mahu terlibat di dalam projek filem atau siri premium sahaja. Saya sebenarnya tidak menolak untuk berlakon di dalam projek drama di platform mainstream atau TV.

“Asalkan skripnya haruslah bagus. Di fasa ini, saya bukan lagi nak mengejar nama atau populariti. Hal-hal ini sudah pun saya lalui.

“Kini, saya lebih memilih projek yang boleh memberikan kepuasan dari sudut hasil kerja dan manfaat kepada diri sendiri dan mereka yang menonton,” katanya kepada MH.

Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysian ke-33 (FFM33) itu berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana Good Boys Go To Heaven, baru-baru ini.

Elak Watak Sensitif, Jaga Persepsi

Dalam masa sama, Beto turut menyentuh mengenai lambakan kandungan drama yang mengangkat tema klise seperti cinta tiga segi dan isu penunggang agama.

Menurutnya, dia memilih untuk tidak terlibat dalam karya sebegitu buat masa ini kerana bimbang ia boleh memberi kesan negatif terhadap persepsi masyarakat.

“Ketika ini, kita ada terlalu banyak siri tentang kisah cinta tiga segi dan penunggang agama. Bagi saya, projek-projek seperti itu sudah ada orang lain yang buat. Jadi, kenapa saya nak kena buat juga?

“Secara pandangan peribadi, bila terlalu banyak drama berkaitan penunggang agama, dia mampu buat penonton pukul rata kepada semua agamawan.

“Kita ada ustaz yang berwibawa. Bila kita sudah terlalu banyak disogok dengan kisah sedemikian, tak fasal-fasal ustaz yang betul ini juga turut terkena tempias.

“Jadi, saya tak nak menjadi punca kepada masalah itu. Cukuplah dengan karya yang sudah sedia ada. Saya okay sahaja dan tiada masalah. Namun, jika ada yang berikan tawaran sebegitu saya akan cuba elak,” kongsinya lagi.

Ditanya mengenai namanya yang kini semakin mendapat perhatian dan menjadi pilihan pengarah, Beto menyifatkan perkara itu sebagai rezeki serta amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.

“Kebetulan kesemua projek ini keluar pada waktu yang dekat-dekat. Saya juga tak nafikan soal rezeki. Alhamdulillah mungkin orang percaya dengan apa yang saya ada.

“Sebab itu orang berikan tanggungjawab dan amanah. Amanah ini merupakan satu hal yang sangat berat. Bila orang percaya, kita kena berikan hasil terbaik supaya orang tak kecewa,” katanya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf