
Pelakon Nadia Brian mengakui dirinya kini lebih terbuka untuk memberikan peluang kedua dalam soal cinta selepas hubungan bersama usahawan, Nedim Nazri berakhir sebelum ini.
Menurut Nadia, dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali berkawan atau mengenali mana-mana individu yang masih bujang.
Kata Nadia lagi, dia juga percaya kepada peluang kedua, lebih-lebih lagi sebagai ruang untuk memperbaiki hubungan yang sebelum tidak berjaya dibawa ke fasa seterusnya.
“Tidak salah untuk memberi peluang kedua. Namun, pada saya, peluang itu sebenarnya harus diberikan kepada diri sendiri.
“Sekiranya ada jodoh, sudah tentu saya terbuka untuk ke arah itu.
“Sebelum ini, saya agak malu untuk memberikan ruang dan peluang, tapi sekarang saya merasakan tidak ada salahnya untuk memberikan peluang untuk mengenal orang lain yang masih ‘single’,” katanya kepada MH.
Nadia berkata demikian ketika ditemui pada acara pertunjukan fesyen Fizi Woo di Kuala Lumpur Fashion Week 2026 (KLFW2026) yang berlangsung di KLCC, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Nadia turut menjelaskan mengenai status hubungannya dengan Nedim Nazri kini berada dalam keadaan baik tanpa sebarang konflik.
“Kami berada dalam keadaan yang baik dan kekal sebagai rakan. Sekiranya ada jodoh, itu adalah ketentuan.
“Namun, antara kami berdua sememangnya tiada sebarang masalah. Doa yang baik-baik, insya-Allah,” tambahnya lagi.
Meskipun pernah melalui fasa trauma dalam percintaan, Nadia bagaimanapun tidak putus harapan dalam soal cinta dan jodoh.
“Siapalah kita untuk menolak jodoh. Hakikatnya, memberi peluang itu adalah untuk diri sendiri.
“Jika sebelum ini pernah melalui fasa trauma, kita perlu memberi ruang kepada diri untuk kembali membuka hati dan bercinta,” kongsinya.
Sementara itu, Nadia juga menghargai setiap pandangan yang diberikan netizen terhadap dirinya, lebih-lebih lagi dalam aspek perhubungan.
“Banyak pesanan saya dapat adripada netizen. Terima kasih. Mana yang bagus saya ambil, yang mana tidak bersetuju, tidak mengapa, itu pendapat mereka,” akhirinya.
Terdahulu, Nadia dan Nedim pernah menjalinkan hubungan cinta sekitar hujung tahun 2025 namun ikatan tersebut difahamkan terlerai pada Mac lalu.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.