Nabila Razali Akui Gimik Saja Tak Cukup Lariskan Lagu

Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali akui bukan mudah bagi seseorang penyanyi untuk mendapat perhatian menerusi sesebuah lagu sekiranya lagu tersebut tidak menepati cita rasa pencinta muzik.

Malah Nabila berpendapat, gimik atau ‘prank’ semata-mata tidak mencukupi untuk melariskan lagu. Sebaliknya, perlu diseimbangkan dengan muzik dan lirik berkualiti.

Penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim ke-10 itu berkata demikian ketika ditemui sejurus rakaman program The Stage Media Hiburan baru-baru ini.

IKLAN

“Saya sedar dalam ramai yang suka, masih ada segelintir yang memberi kecaman. Misalnya kata saya menipu dan cuba memperbodohkan peminat. Sudah tentulah sebelum melakukan gimik itu untuk lagu Pematah Hati, saya sudah fikir semasak-masaknya kepada kalau tidak menjadi, nama saya juga yang tercemar.

 

“Jadi bila berbincang bersama pihak pengurusan dan saya sendiri faham akan niat dan tujuan dilakukan, barulah saya bersetuju. Kalau nak lakukan gimikpun, biarlah ada tujuan dan niat itu betul. Gimik sahaja pun belum cukup untuk melariskan lagu. Bagaimanapun, kalau ada pihak yang terasa hati, saya mohon maaf,” katanya kepada MH.

Ditanya sama adakah dia bimbang atau takut dengan kecaman yang hadir, penyanyi ini hanya perlu bersikap positif.

“Ya, ada juga rasa bimbang pada awalnya. Tapi kenangkan niat kami adalah untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan di balik lagu tersebut, jadi saya okay saja. Alhamdulillah, kebanyakan peminat sudah mula faham dan menerima Pematah Hati dengan baik. Itu yang membuatkan saya rasa gembira,” akui Nabila yang sebelum ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama 26 episod berjudul Matahari Cerah Lagi untuk tayangan RTM.

Selain Nabila, drama adaptasi novel terbitan Global Station itu turut dijayakan Fadlan Hazim, Wan Raja, Sharifah Shahora dan ramai lagi.

IKLAN