
Penyanyi Iman Troy tampil berkongsi pandangannya mengenai tindakan pasangan pempengaruh, Ryzal Ibrahim dan Maryam Younarae yang merakam detik cemas ketika membawa anak kedua mereka, Rian, ke hospital, baru-baru ini.
Sebelum itu, Rian dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari katil, sekali gus ia turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengikut mereka di media sosial.
Iman berpendapat, tindakan Ryzal dan Maryam merakam situasi tersebut mungkin mempunyai tujuan tertentu, termasuk sebagai rujukan kepada pihak doktor selain memberi kesedaran kepada ibu bapa lain.
“Saya rasa Abang Ryzal ni rakam untuk rujukan doktor. Mesti dia dan isteri trauma. Jadi, dia sebarkan kesedaran pada ibu bapa lain.
“Kita tiada anak, kita tak tahu macam mana rasa bila tengok anak sakit dan tak sedarkan diri.
“Jadi, benda ni penting untuk ibu bapa dekat luar sana, macam mana nak bertindak,” tulisnya.
Perkara itu dikongsikan oleh penyanyi lagu Teman menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.
Dalam masa sama, Iman turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berfikiran positif dan tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum terhadap individu yang sedang berdepan situasi sukar.
“Kita nampak benda ni macam kecil tapi mungkin membantu untuk ibu bapa di luar sana. Kita cuba pandang yang positif ya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, tindakan Ryzal yang merakam detik cemas anaknya ketika dalam perjalanan ke hospital mengundang reaksi pelbagai warganet.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini