“Mula-Mula Mengadu Tak Sedap Badan, Berpeluh Banyak,” – Jasmin Hamid Tak Ditidurkan, Suami ‘Update’ Perkembangan

Share

Setelah dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung pada Selasa, suami kepada pelakon Jasmin Hamid, Nazmir Abd Rahman akhirnya memaklumkan mengenai keadaan terkini isterinya itu.

Memetik laporan Astro Gempak, Nazmir memberitahu Jasmin kini berada dalam keadaan yang stabil dan sedang berehat di Unit Rawatan Koronari, Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Malah, dia juga turut menafikan khabar angin yang mengatakan Jasmin kini sedang ditidurkan.

“Isteri saya stabil dan dia tidak ditidurkan. Dia sedang berehat di hospital selepas doktor memberikannya ubat cair darah.

“Pihak doktor juga memaklumkan isteri saya perlu berehat selama lima hari. Dari situ, baru diberikan keputusan sama ada dia perlu berehat lebih lama atau terus sambung kerja,” katanya seperti yang dipetik.

Tambah Nazmir lagi, pada awalnya dia menyangka isterinya itu hanya mengalami serangan asma namun, setelah mendapatkan rawatan di klinik, pihak doktor mengesahkan isterinya itu mengalami masalah di bahagian jantung.

Pada masa sama, Nazmir akui lega setelah melihat perkembangan terkini isterinya itu

“Mula-mula dia mengadu tak sedap badan dan berpeluh dengan banyak. Kami ingatkan dia terkena serangan asma kerana dia memang ada masalah tersebut.

“Bagaimanapun, bila ke klinik, bacaan ECG menunjukkan yang dia mempunyai masalah jantung. Justeru, dia terus dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Alhamdulillah, sekarang dia sudah stabil dan berharap agar dia akan kembali seperti sedia kala. Harap doakan ya,” katanya.

Sejak pagi tadi, netizen serta rakan selebriti turut meluahkan rasa risau selepas menerima perkhabaran yang menimpa pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 3 itu.

Kesemua mereka juga mendoakan semoga Jasmin diberikan kekuatan dan kembali sembuh seperti sedia kala.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Astro Gempak & Instagram Jasmin Hamid

IKLAN