
Selepas empat dekad menjadi antara jenama hiburan paling berpengaruh di dunia, rangkaian MTV bakal menamatkan siaran semua saluran muziknya menjelang hujung tahun 2025.
Dengan penutupan ini, ia sekali gus menandakan berakhirnya satu era yang pernah mengubah cara generasi muda yang lahir pada era lewat-60an, 70-an dan 80-an menikmati muzik.
Menurut laporan media antarabangsa, syarikat induknya, Paramount Global, telah mengesahkan bahawa beberapa saluran di bawah rangkaian MTV seperti MTV Music, MTV 80s, MTV 90s, Club MTV dan MTV Live akan ditamatkan operasi secara berperingkat di seluruh dunia menjelang 31 Disember 2025.
Keputusan drastik ini dibuat sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula strategi korporat Paramount yang kini memberi tumpuan terhadap kandungan digital dan penstriman.
Perubahan Dunia Hiburan & Pengaruh MTV
Perubahan besar ini hadir seiring dengan cara baharu pengguna menikmati muzik melalui platform seperti YouTube, Spotify dan TikTok sekaligus menandakan peralihan daripada televisyen tradisional ke dunia digital.
Sejak dilancarkan pada tahun 1981, MTV (Music Television) mencipta fenomena global dengan konsep unik menyiarkan muzik video 24 jam sehari. Ia bukan sahaja melahirkan budaya baharu dalam industri hiburan, malah menjadi medium penting yang melonjakkan kerjaya artis seperti Madonna, Michael Jackson, Nirvana dan Beyoncé.
Walaupun berpaksikan muzik, MTV bukan hanya sekadar lagu dan muzik video tetapi menjadi satu panduan kepada generasi muda ketika itu untuk menyelami revolusi fesyen dan ideologi budaya yang diketengahkan oleh karyawan seni itu sendiri.
Namun, sejak pertengahan 2000-an, identiti MTV mula berubah apabila kandungan realiti seperti The Real World, Jersey Shore dan Teen Mom menjadi taruhan utama saluran itu. Perubahan hala tuju ini secara perlahan-lahan mengurangkan tumpuan terhadap muzik, sekaligus mencetuskan kritikan daripada peminat lama yang menganggap MTV telah hilang roh asalnya.
Penutup Sebuah Legasi Hiburan Global
Penutupan saluran muzik MTV ini menandakan berakhirnya satu legasi penting dalam sejarah televisyen global. Ia bukan sekadar kehilangan sebuah stesen, tetapi simbol kepada perubahan budaya daripada era MTV kepada generasi penstriman masa kini.
Dengan langkah ini, MTV menutup babak penting dalam sejarah hiburan, sekaligus mengingatkan dunia bahawa muzik kini telah berpindah ke pentas baharu yang hiburan kini berada di hujung jari setiap pengguna.
MTV menamatkan siaran global 2025 menjadi titik tolak kepada perubahan besar dalam cara dunia menikmati hiburan, dari kaca TV ke skrin digital, dari masa lalu ke masa depan muzik moden.
Meskipun operasi saluran muziknya bakal berakhir, jenama MTV tetap akan terus hidup menerusi platform digital dan penganjuran acara berprestij seperti Video Music Awards (VMAs) serta Europe Music Awards (EMAs) yang terus mengiktiraf pencapaian artis di pentas global.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!



![[GAMBAR] Penyanyi Lagu Syantik, Siti Badriah Sudah Bernikah, Ini Foto Indah Majlis Kahwinya 5 [GAMBAR] Penyanyi Lagu Syantik, Siti Badriah Sudah Bernikah, Ini Foto Indah Majlis Kahwinya](https://www.mediahiburan.my/wp-content/uploads/2019/07/F385C111-0EED-4AD7-888D-0DE8033FE7C9.png)



