Berita

MK K-Clique Cerita Anak 2 Tahun Hafal Lagu ‘Pulang’ & ‘Risiko’, Terkejut Siap Boleh Rap – “Jika Dia Minat, Saya Tiada Masalah.”

Share

Pelakon dan penyanyi MK K-Clique mendedahkan anaknya yang baru berusia dua tahun sudah mampu menghafal beberapa lagunya, termasuk ‘Pulang’ dan ‘Risiko’.

Menurut MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, dia sendiri terkejut apabila anak kecilnya itu mampu mengikut rentak rap dengan baik.

“Dia hafal lagu Pulang dan Risiko, malah dia juga pandai rap. Pada usia dua tahun.

“Untuk lagu Risiko, dia memang boleh ikut rap tersebut, saya tidak menipu.

“Tetapi jika saya rap di rumah, dia akan marah. Kalau pasang lagu itu dan saya rap sekali, dia memang tidak suka,” katanya kepada MH.

MK berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama berjudul Sekali Lagi Bahagia yang berlangsung di A Quiet Place, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sudah Biasa Ikut Ke Lokasi Persembahan

Tambah MK, anaknya sudah biasa dibawa ke lokasi persembahan sejak dari kecil.

“Isteri saya selalu hantar video dia menyanyi lagu Pulang. Sebelum ini pun, kami sering membawanya ke ‘show’, dia duduk dalam kereta atau di belakang pentas.

“Jadi dia sudah tahu bapanya buat persembahan rap. Sekarang ini, bila berada di tepi pentas, dia akan duduk diam dan melihat dahulu.

“Tetapi kalau saya tiada, dia boleh menyanyi dan menari,” kongsinya lagi.

Didikan Agama Tetap Jadi Keutamaan

Bagaimanapun, pelakon darama The Hotel itu pada masa sama menegaskan dia tidak akan menghalang minat anaknya dalam bidang seni, namun tetap meletakkan didikan agama sebagai keutamaan.

“Terpulanglah, jika dia minat, saya tiada masalah. Saya terbuka dengan anak saya dan mahukan yang terbaik untuknya, apa sahaja yang dia suka.

“Cuma saya ingin membesarkan dia dengan didikan agama yang cukup, menjadi insan yang boleh berbakti kepada negara dan berguna kepada masyarakat.

“Saya tidak mahu menghalang atau mengehadkan pergerakannya. Kita tidak tahu bagaimana masa depan nanti, tetapi Insya-Allah saya akan sentiasa membimbingnya.

“Yang penting, dia tahu apa yang betul dan salah, tahu membezakan yang baik dan buruk, serta faham soal halal dan haram. Itu sahaja yang saya harapkan,” ujarnya.

Untuk rekod, MK telah mendirikan rumah tangga bersama Siti Hajaar pada 16 Jun 2023.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan iaitu Aya Rayana.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza