
Penyanyi dan pelakon MK K-Clique mengakui tanggungjawab sebagai bapa bukan sesuatu yang mudah, malah kehidupannya juga kini banyak berubah selepas bergelar bapa.
Menurut MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, dia sedang berusaha untuk menjadi contoh terbaik buat anak dan keluarga, selain memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
“Saya rasa banyak perubahan yang berlaku dari segi tanggungjawab.
“Saya perlu jadi contoh yang baik untuk anak saya, dan saya sendiri pun sedang berusaha jadi manusia yang lebih baik.
“Sama seperti bapa-bapa lain di luar sana yang mahukan yang terbaik untuk anak dan keluarga,” katanya kepada MH.
MK berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama berjudul Sekali Lagi Bahagia yang berlangsung di A Quiet Place, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah MK, peranan sebagai ketua keluarga memerlukan ilmu yang cukup dalam mendidik anak dan isteri.
“Sebagai seorang bapa, tanggungjawab itu berat. Kita bukan sekadar jaga keperluan harian, tetapi banyak lagi perkara lain.
“Contohnya dari segi ilmu, saya sendiri perlu belajar lagi untuk didik anak dan isteri saya.
“Isteri saya juga banyak membantu saya dengan nasihat,” ujarnya lagi.
Sementara itu, penyanyi lagu Mimpi itu menganggap setiap individu akan melalui fasa perubahan apabila tiba waktunya, termasuk dirinya sendiri.
“Lambat laun, orang akan berubah dan sedar tentang kepentingan tanggungjawab. Perkara itu akan sampai pada fasa tertentu.
“Macam saya, bila sudah berkahwin, saya cuba berubah jadi suami yang lebih baik. Saya berusaha sebaik mungkin dan belajar ambil nasihat orang.
“Saya nak jadi macam arwah bapa saya dan arwah bapa mertua saya yang mampu jadi seorang bapa yang hebat,” kongsinya.
Dalam masa sama, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu mengakui kini lebih selesa meluangkan masa bersama keluarga di rumah.
“Dulu saya memang suka bersosial dan melepak. Tipulah jika saya kata saya duduk di rumah sahaja.
“Tetapi sekarang, saya lebih selesa berada di rumah sebab saya dah ada keluarga.
“Saya diberi peluang oleh Allah untuk melihat anak saya membesar.
“Walaupun tawaran lakonan tak sekerap dulu, saya anggap itu perancanganNya.
“Alhamdulillah sekarang kerja masih ada, tapi masa itu Allah bagi lebih dengan keluarga,” jelasnya.
Untuk rekod, MK telah mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Siti Hajaar pada 16 Jun 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Aya Rayana.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.