Berita

Mimi Lana Pertahan Tiara Jacquelina, Optimis Mila Mohsin & Aisha Retno Sebagai Puteri Gunung Ledang – “Saya Rasa Tiada Masalah Pun.”

Share

Pelakon Mimi Lana berharap orang ramai memberi ruang dan peluang kepada barisan pelakon yang telah dipilih untuk membuktikan kemampuan mereka menjayakan pementasan teater ikonik, Puteri Gunung Ledang The Musical 2026.

Menurut Mimi, pemilihan Mila Mohsin serta Aisha Retno untuk membawakan watak utama sebagai Puteri Gunung Ledang disifatkannya sebagai keputusan yang tepat.

Malah, Mimi turut melihat tiada isu apabila penerbit dan pengarah teater, Tiara Jacquelina memilih anaknya sendiri kerana percaya Mila memiliki bakat dan potensi besar.

“Jika saya pelakon Puteri Gunung Ledang dan anak saya juga seorang pelakon yang bercita-cita besar nak mencuba watak itu, sudah tentu saya akan bagi pada dia.

“Lagipun, itu adalah produksi milik ibunya. Selain daripada faktor itu, saya percaya Mila juga sudah biasa dengan suasana pementasan. Aisha Retno pula memang tak perlu disangkal lagi.

“Semua orang tahu caranya menguasai pentas memang bagus. Saya rasa tiada masalah pun. Mungkin orang ramai belum menonton pementasan itu lagi. Ia pun belum bermula.

“Insya-Allah bila sudah mula dipentaskan nanti, saya yakin ia akan mengubati hati orang-orang yang bercakap itu,” katanya kepada MH.

Mimi berkata demikian ketika ditemui pada acara tayangan gala filem Polong yang berlangsung di 10 Star Cinema, baru-baru ini.

Uji Bakat PGL Sangat Mencabar

Walaupun namanya tidak terpilih, isteri kepada Syafiq Kyle itu turut teruja apabila berpeluang menjalani proses uji bakat teater buat pertama kali sepanjang bergelar anak seni.

“Proses uji bakatnya sangat susah. Kesemua pelakon yang terpilih, mereka memang layak. Pengarah memang mencari pelakon yang sudah biasa di atas pentas teater

“Saya pula merupakan pelakon filem. Saya tak biasa dengan pementasan. Saya boleh menyanyi tapi tak pernah menyanyi di hadapan khalayak.

“Jadi, saya rasa tugasan itu sangat susah. Kalau diberi masa untuk berlatih, mungkin akan lebih baik. Dua orang pelakon yang terpilih menjadi Puteri Gunung Ledang, mereka memang layak,” ujarnya lagi.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/mimi-lana-mandi-darah-sampai-rambut-pun-jadi-keras-sebab-polong-mimi-lana-cerita-pengalaman-ada-babak-yang-memang-gore/

Mimi Lana Anggap Uji Bakat Proses Pembelajaran

Dalam masa sama, Mimi mendedahkan dia tidak kecewa meskipun gagal mendapat watak berkenaan, malah menganggap pengalaman tersebut sebagai satu proses pembelajaran baharu buat dirinya.

“Saya tidaklah kecewa. Bila kita tak dapat nak buat sesuatu yang kita inginkan, sudah tentu ada sedikit rasa ‘Eh, aku tak dapat!’. Sejujurnya, saya sangat seronok kerana berpeluang melalui proses uji bakat itu.

“Kini, barulah saya tahu bagaimana prosesnya bila melangkah ke pentas teater. Dalam masa seminggu, saya kena belajar menari dan menyanyi.

“Selepas ini, jika ada penerbit nak buat kembali filem PGL, saya nak cuba lagi,” akhirinya.

Sebelum ini, produksi Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 tampil memberikan penjelasan susulan dakwaan segelintir pihak mengenai ketelusan pemilihan barisan pelakon bagi pementasan muzikal tersebut.

Menerusi kenyataan di Threads, pihak produksi menegaskan bahawa proses pemilihan dilakukan tanpa sebarang unsur pilih kasih.

Untuk rekod, teater Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 dijangka mula dipentaskan pada Oktober depan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf