
Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin tampil memberikan penjelasan susulan dakwaan yang tular menerusi aplikasi Threads berhubung isu pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan pekerja di syarikatnya.
Menurut Mila, sebagai seorang majikan, dia mengakui caruman KWSP merupakan hak setiap pekerja dan pihak pengurusan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap sebarang isu yang timbul.
Bagaimanapun, Mila menegaskan tidak semua dakwaan yang diperkatakan di platform tersebut adalah benar.
“Saya tidak tahu siapa yang cakap tetapi pada saya, itu hak mereka. Ada benda yang betul, ada yang tidak betul.
“Seperti yang saya katakan, KWSP adalah hak pekerja dan sebagai majikan, bila menghadapi isu seperti ini, kita akan cari cara macam mana nak selesaikan.
“Di Bizmilla, kita ada pekerja yang sangat ramai. Bila ada yang bekerja, ada juga yang berhenti. Kita tidak boleh kawal siapa yang ‘tambah tolak’ cerita,” katanya.
Mengulas lanjut, Mila mengakui masih terdapat beberapa perkara yang sedang dalam proses penyelesaian, termasuk melibatkan bayaran yang dibuat secara berperingkat.
Pada masa sama, ibu kepada seorang cahaya mata ini juga menegaskan kebajikan pekerja sentiasa menjadi keutamaan syarikat.
“Apa yang diutamakan di Bizmilla adalah gaji dan kebajikan mereka. Apa sahaja yang masih tertangguh, kita akan uruskan.
“Itulah cabaran bila kita uruskan syarikat dengan jumlah pekerja yang ramai. Lain kepala, lain pemikiran.
“Tapi sebagai orang yang mengetuai pasukan ini, saya kena pastikan kita terus bergerak ke hadapan dan cari sumber pendapatan tambahan.
“Saya di bahagian pengurusan akan sentiasa memastikan semua pekerja ada gaji,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Mila turut memaklumkan dia tidak bercadang mengambil sebarang tindakan terhadap individu yang mengeluarkan dakwaan berkenaan kerana tidak mahu isu tersebut terus berpanjangan.
Sebaliknya, dia memilih untuk memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Saya bukanlah orang yang nak mengeruhkan lagi keadaan atau nak besarkan isu.
“Daripada saya fokus kepada masalah itu, lebih baik saya fokus kepada cara menyelesaikan masalah.
“Sebab itu saya tidak pernah nak buat respon balas kerana bila kita menjawab isu itu, kita akan memberi ruang untuk cerita itu jadi lebih besar,” katanya.
Terdahulu, tular satu dakwaan di aplikasi Threads mengenai isu tunggakan caruman KWSP melibatkan pekerja di syarikat yang diuruskan Mila.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.