
Selepas mencipta fenomena menerusi watak Fakhri dalam siri Projek: High Council, pelakon Mierul Aiman kini kembali ke ‘universe’ sama menerusi siri dan filem prekuel Kudrat 1968.
Bagaimanapun, kemunculan Mierul dengan membawakan watak berbeza mengundang pelbagai reaksi daripada peminat.
Menurut Mierul, dia memahami pandangan peminat yang mungkin berasa janggal melihat pelakon sama membawakan karakter berbeza dalam ‘universe’ yang sama, apatah lagi pendekatan itu bukan sesuatu yang lazim dalam karya tempatan.
“Apa yang dirasai peminat itu, sangat adil. Ia juga agak asing buat diri saya sebagai penonton di Malaysia ini. Bila ‘universe’, tajuk dan pelakon yang sama tapi wataknya berbeza.
“Namun, formula itu bukanlah jatuh kepada ‘tidak boleh’ dalam membikin naskhah ini. Di luar negara, formula-formula seperti ini sudah ada walaupun tidak banyak.
“Ia membuatkan saya yakin bahawa formula ini tidak akan memberikan kesan kepada karya-karya sebelum ini. Kita buat yang terbaik untuk hidupkan naskhah ini.
“Tugas para pemain tidak memberikan kesan kepada individu. Yang penting adalah jalan cerita,” katanya kepada MH.
Hero Remaja 2021 itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan barisan pelakon siri dan filem Kudrat 1968, baru-baru ini.
Menyentuh mengenai pembabitannya dalam naskhah berkenaan, Mierul mengakui bersyukur kerana berpeluang kembali ke dunia Projek: High Council, lebih-lebih lagi selepas karya itu menjadi antara titik penting yang mengangkat namanya dalam industri seni tempatan.
“Saya sangat bersyukur kerana dapat sekali lagi menapakkan kaki di projek ini. Saya dapat kembali ke dalam dunia yang sangat saya cintai dan naskhah yang menghidupkan nama saya di dalam industri ini.
“Projek ini penuh dengan keseronokkan dan ketegangan dalam merancang setiap percaturan gerak saya untuk membawakan watak Kuda,” ujarnya.
Mengulas perbezaan antara watak Fakhri dan Kuda, Mierul menjelaskan kedua-dua karakter itu dibentuk dengan identiti yang berbeza, khususnya dari aspek emosi, pembawaan serta cara mengawal diri.
“Saya percaya setiap penulisan itu diciptakan berbeza-beza. Asas cerita itu sendiri yang membezakan dengan naskhah-naskah terdahulu.
“Kita ada karakter, kostum, tone dan rasa yang berbeza. Perbezaan ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa lainnya karya ini. Saya percada Kudrat 1968 mempu berdiri dengan sendirinya.
“Perbezaan paling ketara antaran Fakhri dan Kuda adalah dari segi lantai rasa. Fakhri yang baran dan penuh emosi. Kuda pula seorang yang sentiasa berada dalam kawalan,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Mierul turut meluahkan keterujaan apabila dapat bergandingan dengan barisan pelakon baharu yang disifatkannya membawa tenaga serta perspektif segar sepanjang penggambaran.
“Pengalaman berlakon di dalam naskhah ini sangat menarik. Lebih-lebih lagi apabila dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon baharu yang sangat segar dan punyai tenaga yang sangat kuat.
“Mereka punyai visi dan misi yang sangat segar. Itu yang membuatkan saya tertarik untuk terlibat di dalam karya ini. Kami berada di frekuensi yang sama,” akhirinya.
Selain Mierul, Kudrat 1968 turut dibintangi Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Akmal Asyraf, Chech Harith dan Evertts Gomez.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.