
Pelakon kelahiran Malaysia yang juga pemenang Anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh, tersenarai sebagai calon Worst Actress pada Golden Raspberry Awards 2026 atau dikenali sebagai Anugerah Razzies, susulan lakonannya dalam filem Star Trek: Section 31.
Pencalonan yang diumumkan baru-baru ini itu mengejutkan ramai pihak memandangkan Michelle sebelum ini mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi Oscar menerusi filem Everything Everywhere All At Once pada 2023, selain dikenali dengan rekod lakonan cemerlang di peringkat antarabangsa.
Menerusi filem Star Trek: Section 31, Michelle Yeoh membawakan watak Maharani Philippa Georgiou, seorang antihero yang kompleks dan penuh konflik.
Namun, lakonannya menerima reaksi bercampur apabila kehebatan lakonan serta pengalaman luas beliau dilihat kurang dimanfaatkan sepenuhnya disebabkan kelemahan skrip dan penceritaan yang tidak konsisten, sekali gus menjejaskan impak watak berkenaan.

Razzies merupakan anugerah tahunan berbentuk sindiran yang memberi pengiktirafan kepada filem dan persembahan lakonan yang dianggap paling mengecewakan sepanjang tahun, dan kebiasaannya diumumkan sehari sebelum berlangsungnya Anugerah Oscar.
Dalam kategori Worst Actress tahun ini, Michelle Yeoh bukan satu-satunya nama besar yang tersenarai. Beberapa pelakon terkenal Hollywood lain turut dicalonkan, termasuk Natalie Portman menerusi filem Fountain of Youth, Ariana DeBose (Love Hurts), Milla Jovovich (In The Lost Lands) serta Rebel Wilson (Bride Hard).
Selain kategori tersebut, beberapa pelakon lelaki turut tercalon dalam kategori Worst Actor, antaranya Dave Bautista (In The Lost Lands), Ice Cube (War of the Worlds), Jared Leto (Tron: Ares) serta The Weeknd menerusi filem Hurry Up Tomorrow.
Sementara itu, kategori Worst Picture pula menyaksikan beberapa produksi berskala besar turut tersenarai, termasuk Snow White, War of the Worlds, The Electric State, Hurry Up Tomorrow dan Star Trek: Section 31.
Pencalonan tahun ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan pengkritik filem, khususnya kerana melibatkan pelakon-pelakon yang sebelum ini memiliki reputasi serta pencapaian tinggi dalam industri perfileman antarabangsa.
Dari sudut ini, Anugerah Razzies boleh dikatakan bersifat kritikan terhadap kualiti sesebuah karya, dan tidak mencerminkan keseluruhan kredibiliti seseorang pelakon.
Keputusan penuh pemenang Razzies 2026 dijadualkan diumumkan pada 14 Mac 2026, sehari sebelum berlangsungnya Anugerah Akademi ke-98.

Sekadar info, Sandra Bullock pernah menerima gelaran Worst Actress untuk Anugerah Razzies dan Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oscar pada tahun yang sama. Beliau menerima gelaran pelakon dengan lakonan terburuk bagi lakonannya dalam filem All About Steve manakala menang katergori Pelakon Wanita Terbaik untuk filem The Blind Side.
Menjadikan momen itu lebih ikonik, Sandra sendiri turun padang dan mengambil trofi yang diberikan oleh Anugerah Razzies sehari sebelum beliau menang Anugerah Oscar.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




