
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menyangka kehadirannya di aplikasi Threads menerusi komen-komen santai dan usikan bersama peminat kini menjadi antara hiburan yang dinanti-nantikan netizen.
Menurut Siti, dia tidak meluangkan masa di platform itu sepanjang masa, sebaliknya hanya akan aktif ketika mempunyai waktu terluang selepas menyelesaikan urusan keluarga dan kerjaya.
“Saya bukanlah membalas apa sahaja di Threads itu pada setiap masa. Saya memang punyai waktu untuk betul-betul berehat selepas anak-anak tidur.
“Ada kalanya, saya buka Threads di sela-sela waktu dan kebetulan ada hantaran-hantaran menarik. Jadi, saya pun ikut memberikan komen.
“Saya hanya komen berkaitan makanan tetapi kebanyakan netizen terhibur pula. Saya pun tak mahu komen hal-hal serius sangat. Saya lebih suka santai.
“Tak sangka pengguna di Threads melayan saya seperti geng-geng WhatsApp. Saya hanya mahu menceriakan keadaan,” katanya kepada MH.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharu penyanyi Umairah berjudul Hujung Indah yang berlangsung di Ideas Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu.
Mengulas tanggapan sesetengah pihak yang nenyifatkan aplikasi sosial berkenaan sebagai platform toksik, ibu kepada dua cahaya mata itu berpendapat perkara tersebut banyak bergantung kepada cara penggunaan individu.
“Pada saya, warga Threads ini sangat seronok. Segalanya bergantung kepada diri sendiri. Jika kita sentuh isu yang toksik, ia akan menjadi virus dan merebak. Kalau rasa tak perlu layan, tak payah jawab pun.
“Bila layan perkara-perkara yang santai, ia akan jadi menghiburkan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Siti turut melihat platform media sosial sebagai ruang untuk lebih mendekatkan diri dengan peminat selain membantu usahawan kecil mempromosikan produk mereka, khususnya peniaga makanan.
“Semua platform media sosial mendekatkan saya dengan peminat. Terpulang kepada cara pendekatan masing-masing. Bila bercakap soal makanan, bukan saya sahaja yang suka. Orang lain pun sama.
“Dalam masa sama, niat saya nak membantu para peniaga makanan. Ramai peniaga yang pandai memasak.
“Ketika saya nak mencari makanan, tak sangka pula ia menjadi peluang rezeki untuk mereka. Syukurlah ia menjadi sesuatu yang positif,” kongsinya lagi.
Menurut Siti, interaksi di Threads juga secara tidak langsung memperlihatkan sisi dirinya yang lebih santai dan gemar bergurau, berbeza daripada imej yang sering dilihat ketika berada dalam dunia seni.
“Cara perbualan di Threads itu ada kalanya sangat kelakar. Mungkin itu juga boleh jadi salah satu cara untuk melepaskan stres. Memang saya sendiri yang membalas komen-komen itu.
“Mungkin itu adalah sisi saya yang berbeza. Lebih santai dan suka mengusik. Saya juga kelakar cuma orang tidak berpeluang melihat saya sebegitu di luar kerjaya sebagai penyanyi,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini