Berita

“Mereka Kata Saya Gila, Menyeksa Pelakon…,” – Liyana Jasmay Terkilan, Dakwa Ada Pemain Industri Suka Menjatuhkan & Enggan Lihat Orang Lain Berjaya

Share

Pelakon dan pengarah Liyana Jasmay terkilan dengan sikap segelintir pemain industri seni yang didakwa gemar menjatuhkan orang lain serta kurang selesa apabila melihat individu lain mencapai kejayaan.

Pada pandangan Liyana, ada dalam kalangan mereka yang lebih gemar menyebarkan kebencian sehingga semangat kebersamaan untuk sama-sama mengangkat martabat industri seni tanah air semakin terhakis.

“Isu cakap belakang ini bukan datang daripada netizen. Saya bukan nak menjatuhkan atau mengaibkan sesiapa tetapi sifat kebersamaan dan berkesatuan di dalam industri seni ini memang tiada.

“Ada diantara pemain industri dilihat sukar untuk memberikan sokongan lebih-lebih lagi buat mereka yang sudah berkembang daripada satu tahap ke tahap yang baru. Saya sering kali merasakan hal itu.

“Sebagai anak seni yang sudah lama berkecimpung di dalam bidang ini, saya memandang tinggi kepada semua orang. Mungkin masalah ini datang daripada saya juga.

“Bila saya anggap orang lain sebagai kakak dan abang, saya jangka mereka akan suka saya semula. Rupanya tidak. Orang lain mungkin tak berkenan dengan kita,” katanya kepada MH.

Pelakon filem Castello itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan pelakon dan poster filem seram terbaharu, Pemuja Syaitan, baru-baru ini.

“Saya Tak Suka Kecam Karya Orang”

Luah Liyana lagi, dia berasa amat sedih apabila kata-kata negatif dan menjatuhkan itu datang daripada individu yang amat dikenalinya serta dihormati.

“Saya agak terasa hati bila perkara itu datang daripada orang yang saya tahu dan kenal. Kalau ia datang daripada orang yang suya tidak kenal, saya tidak akan berasa apa-apa.

“Saya tidak kisah kalau orang nak mengkitik tapi saya agak sedih kerana kita tiada sifat kebersamaan itu. Setiap orang perjalanannya berbeza.

“Bila saya berlakon daripada kecil, saya banyak terima nasihat daripada nama-nama besar seperti Datuk Rosyam Nor, Bade Hj Azmi, Datuk Ahmad Idham, Datuk Afdlin Shauki dan ramai lagi.

“Mereka pesan supaya hormat semua orang. Saya diajar bahawa seni ini tiada salah atau betul. Seni adalah interpretasi seseorang terhadap misi dan visi. Saya tak suka kecam karya orang,” kongsinya lagi.

Bagaimanapun, Liyana memaklumkan perkara seperti ini tidak akan sesekali mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan karya-karya yang baik.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/kritiklah-hal-yang-baik-dulu-liyana-jasmay-seru-pengkritik-filem-beri-masa-pada-naskhah-baharu-elak-bunuh-semangat-penonton-hadir-ke-pawagam/

“Ada diantara mereka yang mempertikaikan kualiti kerja saya. Untuk melihat orang jatuh itu mungkin lebih seronok daripada menepuk tangan. Orang yang nak menggelakkan kita itu lebih ramai.

“Jika kita gagal, mereka ketawa. Namun, bila kita sampai di atas, mereka akan ucap tahniah. Arwah bapa dan ibu saya juga selalu berpesan, nak berjaya itu memang susah.

“Sepanjang perjalanan itu, memang ramai yang akan membenci. Orang yang berkawan dengan kita hari ini, mungkin tidak suka dengan kita satu hari nanti.

“Bila saya sedih, saya akan sentiasa ingat pesan mereka. Kita memang kena lalui semua ini. Kesedihan dan kesusahan ini yang akan buat saya kuat,” katanya lagi.

“Ada Sebab Garang, Ini Untuk Kebaikan Mereka”

Malah, Liyana mengakui dirinya merupakan seorang pengarah yang amat menuntut komitmen tinggi daripada barisan pelakon bagi memastikan kualiti kerja mereka mendapat pujian penonton apabila ditayangkan kelak.

“Industri ini kecil sahaja. Kalau orang bercakap tentang saya, mudah sahaja untuk sampai ke telinga. Namun, saya memilih untuk memaafkan. Mereka tak tahu apa yang terjadi di set saya.

“Ada diantara mereka yang kata saya ini gila, garang dan menyeksa pelakon. Apa sahaja yang terjadi di set, itu adalah sebahagian daripada kerja. Sama juga bila kita kena marah dengan bos.

“Ia menjengkelkan bila orang lain cuba masuk campur. Mereka bukan daripada produksi saya. Ada sebab saya garang. Ini adalah untuk kebaikkan mereka.

“Saya tak nak mereka kelihatan teruk di layar. Sebab itu saya akan ‘siksa’ mereka untuk berikan reaksi terbaik. Ini adalah permainan psikologi sahaja,” akhirinya.

Terdahulu, filem arahan Liyana, Pemuja Syitan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober depan.

Filem berkenaan menampilkan Zul Ariffin sebagai pelakon utama yang turut dibarisi pelakon lain seperti Nadhir Nasar dan Aila Azizul.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf