Tidak dinafikan, perubahan muzik semasa di negara ini memberi peluang yang lebih luas buat pendengar untuk mendengar lagu mana yang sesuai dengan citarasa muzik mereka. Jadi, populariti seseorang artis itu bukanlah tiket untuk memastikan lagu dendangan mereka turut sama glamor seiring nama.

Selepas muncul dengan projek duet bersama Farawahida menerusi lagu Mengapa Harus Aku tahun lalu, kini penyanyi asal Gelang Patah, Johor itu kembali cuba menyusun barisan lagu baladanya dengan penuh gaya apabila melancarkan single terbaru, Jutaan Purnama.

Jika sebelum ini dia hanya memuat naik teaser berkenaan menerusi media sosial, kini para pencinta muzik sudah boleh mendengar versi penuh lagu ciptaan trio berbakat, Ezra Kong, Omar K dan Hael Husaini itu di YouTube.

IKLAN

Gembira dengan penerimaan muzik video lirik Jutaan Purnama yang sehingga kini sudah pun ditonton lebih 150,000 kali dengan rata-ratanya memberi reaksi positif terhadap lagu berkenaan, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan tidak dapat menyembunyikan rasa gembira.

“Mengapa Tidak Saya Ambil Pandangan Netizen Mengenai Apa Yang Mereka Mahu Dengar…? – Datin Alyah

IKLAN

Ini kerana, bintang yang dicungkil bakat menerusi program Bintang RTM 18 tahun lalu ini sedar bukanlah suatu yang mudah buat penyanyi senior sepertinya cuba untuk memasuki gelombang muzik semasa yang kini didominasi penyanyi angkatan baru yang lebih viral dan bersifat semasa.

“Sepanjang bergelar penyanyi, saya sudah lalui macam-macam perkara. Malah, kalau nak diceritakan mengenai muzik, pelbagai genre lagu yang saya dan para pendengar disajikan. Jadi sudah tentunya bukan sesuatu yang senang untuk saya memastikan lagu Jutaan Purnama dapat diterima dengan baik pendengar.

 

“Apa pun, saya cuba memberikan yang terbaik, berdasarkan pengalaman dan cita rasa para peminat saya yang diambil menerusi media sosial. Saya sedar, kini aliran muzik sudah berubah, seiring dengan perkembangan semasa juga. Jadi mengapa tidak untuk saya ambil pandangan netizen menerusi platform media sosial mengenai apa yang mereka mahu dengar. Meski tidaklah mengambilnya secara total, tetapi setiap pandangan yang dilontakan saya cuma ambil kira daripada sudut positif,” kata Alyah kepada MH.

Pada masa sama, penyanyi ini turut menyifatkan keindahan yang dipaparkan menerusi muzik video juga turut memberi impak tersendiri terhadap skala kejayaan sesebuah lagu.

IKLAN

Mengulas mengenai hal berkenaan, penyanyi yang juga merupakan duta kepada tudung, Nuha Scarves ini mengakui sejak sekian lama, dia begitu mengambil berat mengenai pemilihan lagu yang bakal dinyanyikan, begitu juga dengan muzik video yang bakal melatari lagu dendangannya.

“Sejak dahulu lagi, saya sangat mengambil berat mengenai lagu yang bakal dinyanyikan. Ini termasuklah daripada aspek material, produksi sehinggalah kepada promosi, misalnya pembikinan muzik video yang mampu menyokong sesebuah lagu itu untuk pergi lebih jauh,” akhirinya jujur. 

https://www.youtube.com/watch?v=tP2okkywJuA

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI