Mengaku Isteri Pernah Alami Tiga Kali Keguguran, Alhamdulillah…Datuk Jamal Abdillah Syukur Suri Hati Kini Hamil 6 Bulan

Selepas melayari bahtera perkahwinan kira-kira dua tahun dan pernah mengalami tiga kali keguguran sebelum ini, penyanyi terkenal, Datuk Abdillah menerima berita menggembirakan apabila isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin telah hamil.

Kini hal enam bulan, wanita berusia 25 tahun itu menurut suaminya baik-baik sahaja dan keadaan bayi dalam kandungan juga sihat.

“Alhamdulillah, doktor memberitahu keadaan bayi dalam kandungan sihat.

“Saya sangat bersyukur kerana doktor juga memberitahu kami bakal menimang cahaya mata perempuan nanti,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Pada masa sama, bintang berusia 60 tahun itu juga turut mengakui baru kini dia berkongsi khabar gembira itu kerana mencari masa sesuai untuk memaklumkannya pada peminat.

Jauh sekali untuk berahsia, pengalaman keguguran suatu ketika dulu memberi iktibar buat pasangan ini untuk lebih berhati-hati.

IKLAN

“Saya bukannya mahu berahsia dengan kandungan isteri tetapi lebih berhati-hati kerana dia pernah mengalami keguguran tiga kali sebelum ini.

“Justeru, saya sangat berharap semoga semua peminat turut mendoakan isteri selamat melahirkan bayi kami nanti,” kongsi Jamal.

Menariknya juga, Jamal turut mempelawa peminat untuk sama-sama ‘mencari’ nama sesuai buat puteri yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. Apa yang penting bagi mereka ialah, nama yang diberikan itu perlu mempunyai maksud yang baik.

“Kami masih mencari nama sesuai dan mempunyai maksud yang baik untuk bayi perempuan bakal lahir nanti.

“Jika peminat ada cadangan nama yang baik boleh berhubung dengan saya dan isteri,” pintanya.

Terdahulu, Jamal mendirikan rumah tangga bersama Zai Izzati yang juga merupakan perkahwinan kali keempatnya pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.

IKLAN

Sebelum ini, hero filem Azura ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad tetapi berakhir dengan perpisahan.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal turut mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 12.

Foto: Carian Google

https://www.youtube.com/watch?v=yuJA0zLV6CM&t=51s