
Lakonan mantap pelakon versatil, Sharifah Sakinah dalam drama Sujud Terakhir Encik Norman kini semakin hangat diperkatakan, lebih-lebih lagi apabila beberapa babak emosinya tular di media sosial.
Rata-rata penonton ibarat ‘sesak dada’ menyaksikan penghayatan Sakinah yang disifatkan terlalu nyata dan seolah-olah bukan sekadar lakonan.
Naskhah ini turut memperlihatkan Sakinah seperti benar-benar melalui penderitaan watak yang dibawakan.

Menerusi beberapa klip yang dikongsi di media sosial, jelas terpancar konflik dalaman, luka emosi serta kekuatan seorang wanita yang dipersembahkan dengan cukup jujur.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, babak tangisan dan luahan perasaan yang dipaparkan antara momen paling berat dalam naskhah arahan pengarah, Shahrulezad Mohameddin ini.

Keberanian Sakinah membawakan watak Emma Khairuddin yang sarat dengan trauma dan tekanan jiwa sememangnya layak diberikan pujian, sekali gus membuktikan dia berada dalam kelas yang tersendiri.
Antara babak yang paling berbekas di hati penonton ialah konfrontasi dan situasi tegang sewaktu pertama kali Emma bertemu dengan anak tirinya, Umar lakonan Rykarl Iskandar.

Setiap dialog dilontarkan dengan tona yang tepat dan tidak berlebihan, namun cukup untuk membuat penonton merasai pedihnya hingga ke hati.
Pujian Netizen & Barisan Pelakon Hebat
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji kualiti lakonan yang dipamerkan Sakinah selain tidak sabar menantikan kesudahan drama ini.

Berikut antara komen-komen yang ditinggalkan netizen;
“Saya cuma nak katakan, jika Malaysia ada anugerah Golden Globe, Sakinah layak menang. Kawalan emosi yang ditunjukkan sangat sempurna.”
“Penat watak Sakinah ni. Memang lain level.”
“Suka tengok Sakinah dan Rykarl Iskandar berlawan mulut. On point betul.”
“Sakinah layak untuk dapat anugerah bagi naskhah ini.”
“Apa sahaja yang tak boleh Sakinah ni? Belakon komedi, drama dan muzik video pun boleh. Memang hebat.”
Selain Sakinah, drama 28 episod ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Aidil Aziz, Trisha Ooi dan Zalif Sidek.
Sujud Terakhir Encik Norman bersiaran pada setiap Rabu dan Khamis jam 9.00 malam di saluran Astro Ria dan sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Kredit Foto: Instagram Sharifah Sakinah
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




