KERJAYA seni Mark Adam bermula sebagai penyanyi, diikuti dengan bidang lakonan yang turut menaikkan namanya. Tapi sejak akhir-akhir ini namanya dilabel pula sebagai seorang pelawak dan sering diundang menjayakan program komedi.

Situasi itu kadang-kala membuatkan peminatnya lupa Mark Adam sebenarnya penyanyi. Mark Adam sendiri sedar keadaan itu tetapi mengakui dia bukan ‘pak lawak’ tetapi rakan-rakan dan situasi yang sering membuatkannya dilihat seperti sedang berlawak sehinggakan apa sahaja ungkapannya dianggap lucu.

 

“Tapi saya tak kisah sebab sejak kecil memang suka menggembirakan orang, kerana itu yang boleh saya buat daripada melihat orang berduka cita disebabkan kita” akuinya jujur.

 

Dalam masa yang sama, Mark yang mula dikenali menerusi single Pencuri Hati ini, menganggap ia sebagai satu peluang dan rezekinya mencuba sesuatu yang baru walaupun tidak pernah terfikir bergelar pelawak.

 

“Saya tahu ramai rakan-rakan pelawak kalau jumpa saya dalam program tersebut suka ‘membahankan’ saya, tapi saya OK saja dan tak kecil hati asalkan apa yang mereka ‘bahankan’ itu tidak mengundang persepsi negatif atau lawak kotor,” luahnya.

 

Ads

Berkongsi perkembangan terkininya juga, Mark Adam memberitahu bakal muncul dalam sebuah filem animasi alih bahasa, The Secret Life of Pets untuk siaran hari raya pertama nanti di saluran HBO.

Kata Mark Adam, filem ini adalah percubaan pertamanya dan dia memegang watak seekor kucing bernama Reginald dan perlu mengisi suara mengikut karakter watak itu dengan setepat yang boleh menerusi intonasi dan emosi.

 

“Mujurlah saya dapat bimbingan pengarah selain membuat persediaan dengan menonton filem ini berkali-kali dan membuat rehearsal sendiri,” katanya yang turut membintangi drama Biniku Ninja.

 

Ads

Berpuas hati dengan hasil yang ditunjukkan dalam filem tersebut, Mark tidak menolak kembali membuat alih suara untuk filem akan datang jika masih diberi peluang.

Tambah penyanyi yang berasal dari Filipina ini, walaupun pada mulanya dirasakan sukar tetapi dia seronok selepas memulakannya.
Berbuka puasa bersama mertua

Meskipun dihujani tawaran dalam bidang lakonan yang datang bersilih ganti, Mark tetap menjadikan nyanyian sebagai keutamaannya dan baru saja melancarkan single bertajuk Bukan Cinta.

Berkongsi cerita Ramadannya, guru vokal ini juga sentiasa menantikan keberkatan bulan mulia ini.

Ads

“Biarpun ibadah juga boleh dilakukan pada bulan lain, namun Ramadan menjadi sangat istimewa kerana keberkatan yang dibawanya dan itulah yang membuatkan saya begitu teruja,” katanya.

Bagi memeriahkan suasana berbuka dan sahur, sepanjang Ramadan pasangan bahagia itu banyak meluangkan masa di rumah keluarga isterinya baik ketika waktu berbuka puasa mahupun sahur, apatah lagi mereka tinggal dalam kawasan kejiranan yang sama.

 

“Jika tiada aktiviti seni ataupun jemputan majlis berbuka puasa di luar, saya memang akan berkumpul di rumah keluarga mertua untuk berbuka puasa bersama-sama dengan mereka dan itulah yang menjadi amalan kami sejak dulu.

 

“Sebenarnya saya tak kisah sama ada berbuka puasa di rumah atau di luar sebab yang penting ibadah puasa saya dapat disempurnakan dengan baik,” cerita Mark Adam lagi yang lebih mengutamakan keperluan ibu dan bapa mertuanya sebelum memikirkan persiapan sendiri dan isteri.

 

Namun bagi selebriti ini, perkara itu bukan satu masalah kerana mereka hanya tinggal berdua dan belum mempunyai anak yang mungkin akan menjadi faktor perubahan kelak.

 

Teks oleh : Wawann Mohd

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI