Berita

“Mama Takut Kecewakan Kakak Lagi…,” – Anne Yahaya Ikhtiar Jalani IVF Kali Kedua, Risau Harapan Tiara Terlalu Tinggi

Share

Isteri kepada pelawak, Achey, iaitu Anne Yahaya, bakal menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) buat kali kedua sebagai ikhtiar untuk menambah cahaya mata dalam keluarga mereka.

Perkhabaran tersebut dikongsikan Achey menerusi satu hantaran di Instagram pada Khamis.

Bimbang Tiara Terlalu Mengharap Kehadiran Adik

Dalam masa sama, Anne atau nama sebenarnya Nor Hasanah Yahaya turut meluahkan kebimbangannya selepas melihat reaksi anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah, yang dilihat meletakkan harapan tinggi untuk memiliki seorang adik.

Menurut Anne, dia tidak mahu episod kekecewaan yang pernah dilalui keluarganya berulang kembali selepas percubaan IVF pertama sebelum ini tidak membuahkan hasil.

“Tiara balik sekolah terus tanya baby. Mama takut sebenarnya. Takut kakak terlalu berharap nak adik. Mama takut kecewakan kakak lagi.

“Mama ingat lagi tahun 2022, awak sedih sampai tak nak makan sebab baby tak jadi,” tulisnya.

Luahan tersebut dikongsikan Anne menerusi satu hantaran di Instagram.

Terus Berusaha Demi Impian Menambah Zuriat

Bagaimanapun, Anne memaklumkan dia dan suaminya akan terus berusaha selagi berkemampuan, selain berharap agar prosedur IVF kali ini berjalan dengan lancar.

“Mama ayah usahakan selagi kami mampu ya sayang. Mama dan ayah sayang awak sangat-sangat.

“Terima kasih pada semua yang doakan kami,” kongsinya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut menitipkan kata-kata semangat dan mendoakan agar hasrat Anne sekeluarga untuk menimang cahaya mata akhirnya menjadi kenyataan.

Berikut antara komen-komen netizen;

“Semoga Allah makbulkan.”

“Ya Allah kau makbulkanlah doa keluarga ini.”

“Semoga Allah permudahkan urusan dan kurniakan anak yang soleh dan solehah buat Achey dan Anne.

“In sha Allah ada rezeki nanti untuk Tiara menjadi kakak. Teruskan berdoa.”

Terdahulu, Achey ada memuat naik sebuah video yang memaparkan dirinya dan isteri menghadiri sesi konsultasi rawatan IVF di sebuah pusat perubatan.

Pada Disember 2022, Achey atau Mohd Nasir Hamzah memaklumkan isterinya menjalani proses rawatan IVF bagi mendapatkan zuriat. Namun, usaha tersebut tidak berjaya.

Untuk rekod, Achey dan Anne mendirikan rumah tangga pada tahun 2011 sebelum mengambil seorang anak angkat perempuan, Nur Tiara Zinnirah, pada tahun 2018.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Sumber & Kredit Foto: Instagram Anne Yahaya

Published by
Aizam Manaf