
Pelakon Linda Hashim mendakwa dia sebelum ini ada menerima mesej daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya kekasih kepada suaminya, pelakon dan penyanyi, Beego.
Dakwa Linda, wanita terbabit memintanya agar tidak memberi harapan kepada Beego bahawa mereka akan kembali bersama, meskipun kes perceraian masih berjalan di mahkamah.

“Semalam (Khamis), teman wanita Beego baru sahaja mencari saya. Wanita tersebut marah dan meminta saya untuk tidak memberikan harapan kepada Beego kerana mereka mahu memulakan hidup baharu.
“Saya tak kisah pun. Pergi sahajalah. Saya pergi ke mahkamah memang untuk menuntut cerai. Masalah sekarang, Beego yang sibuk mencari saya,” katanya kepada MH.
Linda turut mempersoal tindakan pihak ketiga yang mencari dirinya selepas timbul masalah dengan Beego.

“Bila mereka sedang seronok dan bersuka ria, mereka lupa saya ini siapa. Perkara ini saya tujukan kepada para-para penyondol.
“Bila sudah terkena, ditinggalkan dan ada masalah, barulah nak mencari saya. Lagipun, apa yang boleh saya buat? Saya dan Beego memang sedang nak berpisah. Kenapa nak cari saya pula,” ujarnya.
Linda berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Hayya 3: Gaza di TGV, Pavilion Bukit Jalil, Jumaat lalu.
Enggan Terpedaya Lagi?
Dalam masa sama, Linda menegaskan dia tidak mahu lagi ‘terpedaya’ dengan pujuk rayu daripada suaminya itu.

“Beego mengatakan dia masih sayang tapi saya tahu sayangnya itu di tahap mana. Mungkin dia ingin cari pengganti dahulu baru boleh dia lepaskan saya.
“Saya tak tahu sama ada dia sudah ada hubungan yang serius atau belum. Saya sebenarnya bukan nak bercakap sangat tentang Beego.
“Cuma saya rasa terbeban bila ‘penyondol-penyondol’ ini mencari saya. Saya serabut,” katanya lagi.
Menurut Linda, masalah rumah tangganya sudah berlarutan lebih setahun dan kini ditambah pula dengan pelbagai gangguan lain.
“Masalah saya dengan Beego pun masih tak selesai lagi. Ia sudah berlarutan selama setahun. Kini, datang pula masalah lain. Saya tak nak ada gangguan-gangguan seperti ini.
“Suka hatilah kalian nak buat apapun. Jangan ganggu saya. Ini pun saya dengar dia nak tangguhkan proses mahkamah sehingga tahun hadapan. Katanya sibuk dengan jadual kerja,” katanya.
Menyentuh mengenai prosiding mahkamah, Linda menyifatkan kenyataan Beego kepada media sebagai tidak benar dan seperti ingin melengahkan urusan perceraian mereka.

“Sebenarnya kenyataan Beego itu ada yang tidak betul. Dia memang ada membuat lafaz taklik.
“Daripada video temu bualnya baru-baru ini, ia tidak sama seperti apa yang dia perkatakan.
“Sehingga tahap ini, saya pergi ke mahkamah bukan untuk main-main. Sebab itu saya terpaksa keluarkan kenyataan bahawa dia menipu,” jelasnya lagi.
Imbas kembali, Linda dan Beego pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun rujuk semula pada 9 April 2023 sebelum berpisah kali kedua kerana tiada persefahaman.
Pasangan ini berkahwin pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak perempuan iaitu Jelita Clarissa, Anggun Cassandra, dan Indah Camelia.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




