Hiburan

Leo Dan Rudy Kekal Utuh & Nafi Berpecah, Anggap ‘Roh’ Nastia Masih Kekal Sama – “Sebenarnya, Tidak Ada Pergaduhan Atau Maki Hamun, Cuma…”

Share

Vokalis kumpulan Nastia, Leo Azman berharap dua anggota asal kumpulan itu iaitu Zack Zainal dan Adzim Shafi dapat kembali menyertai mereka dalam konsert Nastia Project: Soul Journey yang bakal berlangsung pada 16 Oktober depan.

Menurut Leo, meskipun kedua-dua anggota itu tidak terlibat dalam projek kali ini, hubungan mereka bagaimanapun masih kekal baik dan tiada konflik besar yang berlaku.

“Kadang-kadang dalam adik-beradik pun mesti ada salah faham. Bagi saya, perkara itu biasa sahaja.

“Sebenarnya, tidak ada apa-apa pergaduhan atau maki hamun. Cuma masing-masing mengambil jalan sendiri buat sementara waktu ini.

“Untuk masa hadapan, kita tidak tahu bagaimana,” katanya kepada MH.

Leo berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Nastia Project: Soul Journey di St. Giles Boulevard Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Leo, Nastia Project: Soul Journey merupakan projek ‘comeback’ selepas mereka mengadakan konsert terakhir pada 2015.

Lantaran itu, dia berharap kumpulan mereka dapat sekali lagi berkongsi pentas bersama Jaeng dan Zac.

“Untuk konsert ini pun, kalau boleh saya berharap Jaeng dan Zac dapat menyertai kami kerana ini merupakan konsert pertama selepas 2015.

“Jadi, kalau nak kata mereka keluar daripada Nastia, tidak juga.

“Ini merupakan projek baharu bersama syarikat baharu kami, Synergax. Jadi, Zac dan Jaeng mungkin tidak dapat menyertai projek kali ini.

“Untuk masa akan datang, kita tidak tahu bagaimana,” jelasnya lagi.

Anggap ‘Roh’ Kumpulan Masih Kekal

Dalam masa sama, Leo menegaskan kumpulan itu tidak berpecah. Sebaliknya, Jaeng dan Zac sudah tidak bersama mereka sejak sebelum Hari Raya tahun ini.

“Kami tidak berpecah pun. Mereka sudah tidak bersama kami sejak sebelum Hari Raya tahun ini.

“Saya juga sudah beritahu mereka mengenai konsert ini dan kami memang menjemput mereka.

“Cuma untuk tarikh-tarikh berkenaan, masing-masing sibuk dengan kerja masing-masing jadi kami belum pasti mengenai kelapangan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai individu yang bakal menggantikan tempat anggota Nastia sekiranya mereka tidak berkesempatan menyertai konsert itu, Leo memaklumkan beberapa pemuzik industri telah dipilih.

“Yang menggantikan mereka untuk konsert ini ialah pemuzik yang sudah biasa bekerja dengan Nastia, khususnya Rudi.

“Rudy yang banyak terlibat dalam produksi ini, jadi dia lebih tahu siapa yang terbaik untuk konsert nanti.

“Kami sebenarnya mahu membawa Ag Coco, tetapi tidak dapat kerana jadualnya bertembung dengan konsert lain,” ujar Rudi.

Mengulas lanjut, Leo mengakui walaupun barisan anggota berubah, ‘roh’ Nastia masih kekal sama. Bagaimanapun, dia tidak menafikan sumbangan besar Jaeng dan Zac dalam membentuk identiti kumpulan itu.

“Pada awal penubuhan Nastia pun saya memang sudah Bersama Rudy. Jadi, ‘core’ atau akar itu masih ada.

“Cuma bahagian ‘dahan’-nya yang berbeza. Akar itu tetap ada dan ‘core’ kami masih sama.

“Apapun, saya akui roh Nastia juga ada pada Jaeng dan Zac. Bukan mudah untuk bermain dram untuk Nastia, dan hanya Jaeng yang mampu untuk bermain dram sebegitu. Jadi saya memang terkilan.

Rudy Akui Sukar Cari Pengganti Jaeng

Apa yang lebih mengejutkan, Leo turut mendakwa wujudnya ‘pihak ketiga’ yang dipercayai menjadi antara punca perubahan dua anggota berkenaan.

Sementara itu, pemain gitar Nastia Project, Rudy Iskandar turut berkongsi usaha yang telah dilakukan bagi memujuk Jaeng dan Zac agar kembali bersama menjayakan konsert tersebut.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/untuk-konsert-ini-kak-ani-harus-ada-bersama-saya-siti-nurhaliza-pilih-noraniza-idris-dedah-sebab-undang-lesti-kejora-king-nassar/

“Saya memang berusaha keras untuk memujuk mereka untuk menyertai projek ini.

“Kami masih berhubung, cuma untuk mendapatkan mereka bersama Nastia dalam persembahan kali ini memang sangat mencabar.

“Kalau hendak bermain dram, sesiapa sahaja mungkin boleh bermain. Tetapi untuk mengisi tempat Jaeng, kalau bukan Jaeng sendiri, itu satu perkara yang berbeza.

“Dalam masa sama, kami tetap membuat persiapan sekiranya Jaeng memang tidak dapat menyertai konsert ini,” katanya lagi.

Walaupun berdepan situasi tersebut, kedua-dua mereka masih membuka ruang untuk kembali bekerjasama pada masa hadapan.

Terdahulu, Nastia bakal mengadakan konsert Nastia Project: Soul Journey pada 16 Oktober 2026 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert itu turut menampilkan artis jemputan Amir Jahari dan Fynn Jamal.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza