
Pasangan pempengaruh media sosial, Sam Lim dan Parisa Ardina sekali lagi mencuri perhatian apabila perkongsian mereka menjalani penggambaran ‘pre-wedding’ selepas sah bergelar suami isteri tular di media sosial.
Menerusi video ‘behind the scene’ yang dimuat naik, kedua-duanya dilihat menjalani sesi penggambaran dalam suasana santai di lokasi luar, lengkap dengan busana pengantin serba putih.
Dalam masa sama, Sam Lim turut berseloroh dan mengingatkan pasangan yang baru berkahwin agar berfikir semula sekiranya ingin mengadakan penggambaran luar, terutamanya dalam cuaca panas.
“Fikir dua, tiga, empat, lima atau enam kali sebelum anda shoot pre-wedding outdoor,” tulisnya.
Sam Lim yang segak mengenakan sut putih dilihat sanggup berjalan mengundur semata-mata untuk menghalakan kipas elektronik kepada Parisa yang anggun dalam persalinan gaun pengantin.
Apa yang lebih menarik perhatian netizen bukan sekadar visual romantik tersebut, sebaliknya pendekatan pasangan ini yang memilih untuk mengadakan penggambaran selepas majlis akad nikah.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai contoh yang lebih baik serta selari dengan nilai budaya dan agama.
Malah, ada yang berpendapat langkah ini wajar dijadikan inspirasi buat pasangan lain yang merancang untuk berkahwin.
Berikut merupakan antara komen yang ditinggalkan netizen;
“Macam ini baru betul. Selepas nikah baru shoot pre-wedding.”
“Saya lebih suka orang buat pre-wedding selepas akad atau kenduri kawin. Pernah terjadi, pergi nak jumpa pengantin, mereka sibuk bergambar outdoor. Saudara mara datang jauh kot.”
“Sam betul-betul meratukan isterinya.”
“Bagusnya kalian. Sudah halal baru buat pre-wedding.”
“Suami mithali betul Sam Lim. Tahniah buat pengantin. Semoga berbahagia dan berkekalan hingga ke jannah.”
Terdahulu Sam Lim dan Parisa Ardina selamat melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 10 April lalu.
Sehingga kini, video yang dikongsikan di aplikasi TikTok itu telah meraih hampir 2 juta tontonan dan lebih 80,000 tanda suka.
Sumber & Kredit Foto: Instagram & Tik Tok Sam Lim