
Fenomena muzik koplo yang mencetuskan ledakan besar dalam industri hiburan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini kini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik di Malaysia.
Cabang muzik dangdut itu turut membina kelompok pengikutnya sendiri di negara ini.
Menyedari perkembangan positif itu, Zona Joget tampil menganjurkan KOPLOVE LIVE IN KUALA LUMPUR 2026yang bakal berlangsung pada 1 Ogos, jam 8 malam di VOX Live Kuala Lumpur (Platinum Park).
Konsert berkenaan bukan sekadar menjanjikan hiburan, malah menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan muzik koplo kepada khalayak tempatan.
Acara itu bakal menampilkan dua DJ koplo terkenal dari Indonesia, START KOPLO dan Lilo, selain turut diserikan dengan persembahan DJ tempatan, DJ Alink.
Walaupun penerimaan muzik koplo di Malaysia masih belum setanding Indonesia, rentaknya yang rancak dan mudah menangkap halwa telinga berjaya mencetuskan keterujaan pendengar untuk menyanyi serta bergoyang bersama.
Pengarah Urusan Ace Talents selaku penganjur, Azuein Alonto berkata, Kuala Lumpur dipilih kerana dilihat sebagai sebuah bandar yang terbuka menerima kepelbagaian budaya dan aliran muzik baharu.
“Di Malaysia, daripada pop, indie sehinggalah dangdut dan koplo yang semakin mendapat perhatian di media sosial. Kami percaya koplo bukan sekadar genre muzik, tetapi satu pengalaman yang menyatukan orang ramai melalui nyanyian, tarian dan interaksi bersama.
“Sebab itu kami yakin KOPLOVE mempunyai ruang untuk berkembang di sini. Selain komuniti Indonesia besar di Malaysia, kami juga melihat minat semakin meningkat daripada penonton tempatan yang ingin merasai pengalaman muzik berbeza dan lebih interaktif,” katanya.
Mengulas pemilihan START KOPLO dan Lilo sebagai teraju utama konsert itu, Azuein berkata kedua-dua penghibur berkenaan membawa identiti tersendiri yang mencerminkan evolusi budaya koplo moden.
“START KOPLO terkenal dengan pendekatan kreatif menggabungkan lagu-lagu popular dengan identiti koplo yang segar dan relevan kepada generasi muda.
“Mereka sudah membina komuniti peminat yang kuat dan sering mencipta suasana sangat meriah di setiap persembahan.
“Lilo pula mempunyai gaya persembahan bertenaga serta kemampuan membaca emosi penonton dengan sangat baik.
“Kehadirannya melengkapkan pengalaman KOPLOVE kerana kami mahu memberikan gabungan persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mampu menyatukan seluruh dewan dalam satu suasana sama,” katanya lagi.
Menurut Azuein, muzik koplo bukan sekadar sebuah cabang muzik, sebaliknya telah berkembang menjadi satu gerakan budaya yang semakin kukuh di Indonesia dan menjadi sebahagian daripada identiti komuniti penggemarnya.
Beliau berkata, semangat sama ingin diterapkan menerusi KOPLOVE LIVE IN KUALA LUMPUR 2026 dengan matlamat menghimpunkan lebih ramai pencinta muzik koplo sekali gus membantu genre itu terus berkembang di Malaysia.
“Matlamat utama kami adalah membina sebuah komuniti. Kami mahu KOPLOVE menjadi ruang di mana orang ramai boleh berkumpul, berhubung dan meraikan budaya yang mereka cintai tanpa mengira latar belakang.
“Kami sering menggunakan frasa “Be Part of The Movement” kerana kami percaya KOPLOVE bukan hanya tentang siapa yang berada di atas pentas, tetapi tentang semua orang yang hadir dan menjadi sebahagian daripada pengalaman itu.
“Kami berharap acara ini menjadi titik permulaan kepada komuniti koplo yang lebih besar di Malaysia dan membuka lebih banyak peluang kolaborasi budaya antara Malaysia dan Indonesia pada masa akan datang,” tambah Azuein.
Bagi edisi sulung penganjuran, Zona Joget menyasarkan kehadiran kira-kira 1,000 penonton di VOX Live Kuala Lumpur.
Walaupun majoriti peminat koplo terdiri daripada golongan muda, acara itu sebenarnya terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
“Kami melihat koplo sebagai muzik yang merentas generasi. Ini kerana ramai membesar dengan lagu-lagu dangdut, pop Indonesia dan muzik rakyat yang mempunyai elemen serupa. Pada akhirnya, KOPLOVE adalah tentang kebersamaan dan pengalaman dikongsi bersama.
“Kami mengalu-alukan kehadiran rakyat Malaysia, komuniti Indonesia di Malaysia, pelajar, pekerja profesional, pencipta kandungan serta sesiapa sahaja yang sukakan muzik dan suasana positif,” katanya.
Tiket ditawarkan pada harga RM69 (Early Bird) dan RM148 (Normal) menerusi laman web ticket2u, manakala tiket berharga RM169 boleh dibeli di pintu masuk pada hari acara.
Sebagai tawaran istimewa, pembelian lima tiket akan melayakkan peminat menerima satu tiket percuma selain berpeluang memenangi sebuah Apple Watch.
Promosi tersebut sah sehingga 15 Julai, tertakluk kepada terma dan syarat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.