
Impian empat penyanyi bersaudara bersuara emas, Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel untuk berkongsi satu pentas akhirnya menjadi kenyataan.
Konsert Empat Live in Kuala Lumpur 2025, yang berlangsung di Mega Star Arena, Plaza Sungai Wang pada Sabtu lalu, berjaya menghiburkan lebih 4,500 para peminat setia mereka.
Tepat jam 8.45 malam, dewan bergema dengan sorakan apabila keempat-empat bintang ini membuka tirai persembahan dengan lagu-lagu hits masing-masing.

Selain paduan vokal luar biasa, telatah bersahaja dan usikan manja mereka turut mencuit hati penonton, sekali gus menggambarkan keakraban sebenar antara keluarga seni ini.

Menurut Ziana, perjalanan menuju konsert ini bukan mudah, namun segala cabaran ditempuh dengan penuh kesyukuran.

“Walaupun terpaksa bergelut dengan pelbagai peristiwa membabitkan diri, anak-anak, ahli keluarga dan kawan-kawan, Allah sentiasa beri kekuatan untuk kita terus hidup dan beri peluang untuk menjayakan konsert ini. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT.
“Saya juga ada terima banyak permintaan senarai lagu daripada peminat untuk dinyanyikan, tapi pada malam ini, saya akan nyanyikan lagu epik dan lagu lama dari album Puncak Kasih,” katanya.
Aura Keluarga, Persembahan Sarat Emosi
Bagi Anuar Zain, konsert ini dilihat sebagai simbol kasih dan penghargaan buat peminat setia mereka.
“Walaupun jadual masing-masing padat, kami tetap menunggu waktu sesuai untuk menjayakan konsert ini. Konsert Empat ini adalah untuk anda semua. Terima kasih atas sokongan dan sudi datang untuk menonton konsert ini,” katanya penuh makna.
Selain menyampaikan lagu solo masing-masing, keistimewaan Konsert Empat turut terserlah apabila Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel saling bertukar lagu serta mempersembahkan duet epik penuh harmoni.

Antara segmen paling mencuri perhatian ialah gabungan empat suara dalam lagu-lagu rancak seperti Kau Pun Sama, Sangkar Cinta, Kau Bunga Cintaku dan Boneka, membuatkan penonton berdiri dan menari bersama.

Momen duet Ernie dan Ziana menerusi lagu Anggapanmu serta Anuar dan Syamel dengan Cinta Tidak Harus Memilikipula membawa penonton hanyut dalam emosi mendalam.

Konsert yang diterbitkan oleh Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse ini menampilkan Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert dan Lee Sze Wan selaku pengarah muzik.
Turut hadir memberi sokongan ialah Edry Abdul Halim, Datuk Hattan, Noryn Aziz dan Salamiah Hassan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




