Berita

“Kita Tak Boleh Menolak Jodoh…,” – Fazley Yaakob Akui Kagum & Puji Keperibadian Vida, Miliki Ciri Isteri Idaman

Share

Hanya Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menegaskan hubungannya dengan usahawan sensasi, Datuk Seri Vida, tidak lebih daripada sekadar teman biasa.

Menurut Fazley, hubungan rapat yang terjalin antara pengurus serta anak-anak sepanjang menyertai program Talk To My Manager Musim Kedua (TTMM2) adalah sesuatu yang normal kerana mereka sudah menganggap antara satu sama lain seperti keluarga sendiri.

“Saya rasa ia semakin kelakar bila ada hashtag ‘Dida La Vida’. Selalunya orang buat hashtag ini bila mereka nak berkahwin. Kami ini merupakan satu keluarga di TTMM2.

“Apa yang boleh saya katakan, saya dengan Vida hanyalah berkawan. Sama seperti orang lain. Kenapa bila saya pergi ke rumah Datuk A. Aida, orang tak cakap apapun?

“Bila dengan Vida, kenapa ia diperkatakan pula? Seperti yang saya katakan, kami ini satu keluarga TTMM2,” katanya kepada MH.

Fazley berkata demikian ketika ditemui selepas konsert minggu ketujuh TTMM2, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fazley menyifatkan soal jodoh sebagai ketentuan Allah SWT dan mengakui dirinya sentiasa terbuka sekiranya dipertemukan dengan insan yang tepat pada masa akan datang.

“Kita tak boleh menolak jodoh dengan sesiapa pun. Saya tak pernah menyatakan diri saya ketika ini sudah atau belum bersedia mencari pasangan.

“Apa yang saya letakkan di media sosial itu hanyalah konten yang akhirnya memakan diri. Pada saya, soal jodoh itu di tangan tuhan.

“Saya tidak pernah menolak sesiapa pun menjadi jodoh saya. Tak kisahlah bagaimana ciri-cirinya pun. Jika anak-anak terima, saya okay sahaja,” ujarnya lagi.

Menurut Fazley, spekulasi yang timbul sebenarnya berpunca daripada gurauan anak-anak yang sering meluangkan masa bersama sepanjang program tersebut.

“Kalau kata tidak berkawan, itu bohonglah. Saya berkawan dengan semua ibu-ibu di TTMM2. Anak-anak ini pun suka bergurau. Mereka kata ramai ibu-ibu di TTMM2 ini yang single.

“Kita ada Vida, Adira, Linda Jasmine dan Datuk A. Aida. Kebetulan saya juga masih solo. Jadi, anak-anak ini suka menjodoh-jodohkan.

“Saya pun tak dapat nak mengelak bila anak-anak bercakap tentang hal yang menarik di mata mereka.

“Apa yang boleh saya katakan, saya masih single. Begitu juga dengan ibu-ibu di TTMM2 itu,” kongsinya lagi.

Kagum Keperibadian Vida Sebagai Wanita

Pada masa sama, Fazley tidak menafikan dirinya amat mengagumi keperibadian Vida yang disifatkannya memiliki ciri-ciri wanita, isteri dan ibu yang sempurna.

Katanya, cara Vida membesarkan anak-anak serta komitmennya terhadap agama dan kerjaya menjadi antara perkara yang paling dikaguminya.

“Sebagai seorang lelaki, Datuk Seri Vida ini memang menepati ciri-ciri seorang isteri yang sempurna. Saya kagum melihat bagaimana beliau menjaga Cik B dan Kacak.

“Selain mesra bersama anak-anak, beliau juga sangat menitik beratkan soal agama. Berbisnes pun sangat hebat.

“Jadi, beliau memang sangat menepati seorang isteri yang sempurna untuk sesiapa sahaja,” akhirinya.

Sebelum ini, Fazley dan Vida didakwa sedang berkawan rapat selepas beberapa video yang memaparkan keakraban mereka tular di media sosial susulan penyertaan dalam TTMM2.

Malah, Cik B atau nama penuhnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, sebelum ini turut menyatakan restunya sekiranya ibunya mempunyai hubungan istimewa dengan Fazley.

Cik B juga yakin Fazley mampu menjadi figura bapa yang terbaik buat dirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf