“Kita Pun Tak Ajar Mereka Bawa, Main Motor,” – Keberadaan Di Sekolah; Haqiem Stopa Lerai Kekeliruan, Jelaskan Situasi Sebenar

Share

Video yang memaparkan pensohor media sosial yang sinonim dengan konten permotoran, Haqiem Jaafar atau Haqiem Stopa yang dilihat hadir ke sebuah sekolah di Kuala Lumpur untuk memberikan ceramah motivasi menerima reaksi pelbagai netizen.

Ini kerana ada yang menyifatkan dia bukanlah individu yang dirasakan sesuai untuk memberikan kata-kata semangat kepada para pelajar.

Bagaimanapun, Haqiem sekadar berkongsi pengalaman dalam mengenal erti peluang kedua seterusnya menyebarkan sisi positif kepada mereka, baru-baru ini. 

Perkara tersebut turut diterangkan oleh pemuda berusia 23 tahun ini menerusi Insta Stories, sekaligus menjelaskan mengenai situasi sebenar.

“Saya dijemput oleh badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Belia Mahir. Ia merupakan satu organisasi yang mencari pekerja-pekerja berkemahiran.

“Dalam masa sama, Belia Mahir juga terlibat dengan pihak sekolah dalam berkongsi tentang ‘peluang kedua’.

“Macam contoh, misalnya pelajar yang pernah gagal dalam SPM, mereka sebenarnya masih ada peluang untuk berjaya.

“Itu yang dimaksudkan dengan peluang kedua. Saya hadir jemputan daripada Belia Mahir,” tulisnya.

Malah, dia tidaklah ‘mengajar’ mereka membawa motosikal sebagaimana yang didakwa, tetapi lebih kepada berkongsi latar belakang dirinya sendiri yang bangkit dari kegagalan.

“Saya tak minta orang kenal saya. Akan tetapi saya ada pengikut tersendiri. Kita sampaikan mesej tentang latar belakang seorang yang pernah gagal, iaitu saya. Mangsa buli siber dan dan juga peluang kedua.

“Kita pun tak ajar mereka bawa motor, main motor, ajar pelajar-pelajar ‘fly’ seperti yang dinyatakan di media-media lain.

“Kita berkongsi tentang seorang yang pernah gagal di dalam hidup dan bangkit dengan semangat serta usaha yang besar. Bina kerjaya untuk bantu mak ayah dan masa depan,” coretnya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

IKLAN