Penyanyi popular, Khai Bahar bakal merakamkan semula lagu Halaman Asmara nyanyian asal Datuk Awie dan Ziana Zain, sempena sambutan Aidilfitri nanti.

Bukan itu sahaka, Khai Bahar bakal tampil dengan single ketiga, Luluh selewat-lewatnya selepas sambutan Aidilfitri, kelak.

Lebih istimewa, Luluh merupakan hasil ciptaan sendiri daripada penyanyi berusia 23 tahun ini.

IKLAN

“Saya mencipta Luluh sekitar dua tahun lalu.

“Sebelum ini, saya juga pernah muat naik versi akustik di YouTube,” katanya.

Meskipun baru dalam bidang penciptaan lagu, Khai tetap optimis dengan sambutan bakal pendengar.

“Saya akui sedikit gugup untuk merakam dan menjual lagu ciptaan sendiri.

“Tapi, melihat kepada sokongan peminat, saya yakin ia bakal mendapat tempat di hati pendengar.

“Saya juga berterima kasih kepada NAR Records yang memberikan kesempatan untuk menerbitkan lagu Luluh sebagai single baru.

“Sekurang-kurangnya, Luluh tak terperap untuk tempoh yang lama seperti ikan masin (ketawa),” katanya.

Bahkan, Khai turut mengimpikan untuk bergelar pelakon, namun kesibukan menyanyi membataskan keinginannya itu.

IKLAN

“Saya memang terfikir untuk terjun dalam bidang lakonan tapi saya agak sibuk sekarang ini.

“Tawaran (berlakon) itu ada, cuma nanti dulu. Saya mahu fokus menyanyi,” katanya.

Dalam perkembangan, Khai dilantik sebagai duta sekali gus melancarkan produk wangiannya, Bayang by Khai Bahar yang dikeluarkan oleh Rises Perfumes.

IKLAN

Katanya, pelantikan sebagai duta membantu meluaskan lagi skop kerjaya selain berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan, satu hari nanti.

“Saya terima tawaran ini sejak bulan lalu. Ini adalah wangian yang dikeluarkan secara eksklusif dan terhad kepada 5,500 pembeli sahaja.

“Saya sendiri yang memilih bauan ini dan sebenarnya, ini adalah antara produk wangian kegemaran saya sendiri.

“Malah, saya perlu cuba hampir 88 jenis bauan sebelum memilih dua yang terbaik,” katanya

Bayang By Khai Bahar dikeluarkan oleh Rises Perfume yang dijual dengan harga RM90 bagi botol bersaiz 30 milimeter.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI