
Selepas tiga minggu berlangsung tanpa sebarang penyingkiran, pentas Kilauan Emas Selebriti (KES) akhirnya menyaksikan dua peserta terpaksa menamatkan perjuangan mereka pada konsert minggu keempat, Sabtu lalu.
Kesilapan tempo dan hilang fokus ketika mempersembahkan lagu Tragedi Buah Epal nyanyian asal Anita Sarawak sedikit merencatkan persembahan pelakon, Khaty Azian, sekali gus menyaksikannya menduduki tangga tercorot dengan markah 48.72%.
Sementara itu, persembahan menghiburkan daripada pelakon, Mubarak Majid yang membawakan lagu Berdendang Sayang dilihat masih belum cukup untuk menambat hati apabila sekadar meraih tempat ke-9 dengan markah 51.59%.
Keputusan itu menyaksikan Khaty dan Mubarak menjadi dua peserta pertama yang terpaksa meninggalkan pentas KES musim ini.
Dalam pada itu, pelakon veteran Datuk Jalaludin Hassan membuktikan kehebatannya apabila unggul di tempat pertama dengan markah 79.42 peratus menerusi persembahan lagu Nasha Ye Pyar Ka.
Karisma yang ditunjukkan Jalaluddin ketika membawakan lagu nyanyian asal Udit Narayan itu ternyata berjaya menggamatkan suasana di Auditorium MBSA, selain menerima ‘standing ovation’ penonton.
Malam konsert minggu ke-4 KES turut menjadi detik penuh gemilang buat pelakon Kasih Yang Terkorban itu apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas Berkilau Of The Week buat pertama kalinya.
Hasil kemenangan tersebut, Jalaluddin meraih wang tunai RM2,000 yang disumbangkan buat penyanyi popular era 70-an, Fredo yang juga vokalis kumpulan Flybaits.
Tempat kedua pula menjadi milik dramatis, Zila Bakarin dengan 69.98 peratus, manakala pelakon Amyza Aznan melengkapkan kelompok tiga terbaik dengan 68.99 peratus.
Baca Artikel Lain;
Berikut adalah markah keseluruhan konsert minggu ke-4 KES;
Sementara itu, saingan minggu keempat KES turut digamatkan dengan persembahan istimewa daripada dua penyanyi popular era 90-an, Oney dan Safura Yaakob, yang tampil mengimbau kembali nostalgia menerusi lagu Jemu dan Jangan Menangis Sayang.
Kilauan Emas Selebriti dihoskan oleh Raja Azura dan Keanu Azman, sementara kerusi juri pula menyaksikan gandingan pelawak Jihan Muse dan Datuk Yusry KRU sebagai juri tetap.
Sementara itu, penyanyi dangdut popular Amelina diundang sebagai juri jemputan minggu ini.
Dari segi penjurian, sebanyak 80 peratus markah ditentukan oleh panel juri profesional, manakala baki 20 peratus lagi diperoleh menerusi undian penonton secara dalam talian.
Kilauan Emas Selebriti 2026 berlangsung selama tujuh minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 22 Ogos, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Prima.
Program berkenaan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.