
Pelakon Beto Kusyairy menegaskan dirinya tidak mempunyai sebarang niat untuk menghina mana-mana individu atau organisasi ketika membawakan watak Along Alid dalam filem terbaharu, Libang Libu.
Menurut Beto, atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, setiap watak yang dipaparkan dalam filem tersebut termasuk peranan sebagai ‘Abang Long Kawasan’ adalah cerminan kepada realiti yang wujud dalam masyarakat masa kini.
“Kenapa pula watak itu sensitif? Itu adalah realiti yang ada di dalam masyarakat kita. Sehingga kini, masih ada pihak yang berpewatakan seperti itu.
“Filem ini adalah cerminan kepada masyarakat. Apa yang kami tonjolkan itu adalah mencerminkan apa yang terjadi dalam komuniti.
“Melalui medium filem, kita paparkannya dalam bentuk yang santai dan menghiburkan.
Kami tiada niat nak menghina,” katanya kepada MH.
Beto berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Libang Libu, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, tidak timbul keperluan untuk mendapatkan kebenaran daripada mana-mana pihak bagi menjayakan watak tersebut kerana ia sepenuhnya bersifat fiksyen dan hasil ciptaan pengarah.
“Saya rasa tak perlu pun kita minta izin kepada sesiapa. Ini adalah watak fiksyen. Ia bukan watak yang perlu saya minta izin daripada waris atau sebagainya.
“Ini adalah watak yang dicipta. Saya tak nampak sebarang keperluan untuk minta kebenaran kepada sesiapa,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Beto turut meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada produksi filem tersebut yang menghimpunkan hampir 30 pelakon popular tanah air.
Menurutnya, cabaran utama sepanjang penggambaran adalah untuk menyesuaikan diri dengan karakter unik setiap pelakon, namun suasana kerja tetap menyeronokkan.
“Cabaran utama berlakon filem ini adalah untuk melayan karenah orang-orang gila. Semua yang berlakon punyai kepala gila tapi suasananya sangat seronok.
“Apabila kita bekerja dengan kawan-kawan yang kita suka dan pelakon yang serius dengan karya mereka, masing-masing akan cuba memberikan input untuk jadikan filem ini terbaik.
“Ia satu pengalaman yang menarik. Kami tidak berdepan masalah dari segi keserasian. Masing-masing faham dengan peranan sendiri. Kami seronok dapat terlibat di dalam filem ini,” akhirinya.
Filem Libang Libu arahan Bobby Husaini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 April ini.
Selain Beto, filem ini turut dibintangi oleh Nabila Huda, Ozlynn Wati, Razak Ahmad, Sabri Yunus dan ramai lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini