
Pelakon, Kodi Rasheed tampil berkongsi keadaan terkini aktor, Que Haidar yang dikatakan menghilangkan diri selepas dihimpit pelbagai dakwaan sejak akhir-akhir ini.
Menurut Kodi, dia ada menghubungi Que untuk bertanyakan khabar dan berkongsi perkembangan terkini mengenai kerjaya seni mereka.
“Saya ada bertanya khabar Que. Dia ialah cikgu saya. Mestilah saya akan tanya sama ada dia okay atau tidak. Lagipun, kami baru sahaja selesai promosi filem Malaikat Malam.
“Saya ada hubungi dia sama ada di ikut serta atau tidak promosi itu. Tiada apa pun yang berlaku sebenarnya.
“Saya memang akan menelefon cikgu saya itu sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
“Kalau sebulan tak telefon, setidaknya kita tahu yang masing-masing okay,” katanya kepada MH.
Kodi berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Libang Libu yang berlangsung di TGV Mid Valley, Kuala Lumpur pada Khamis.
Beri Ruang Buat Que
Jelas Kodi lagi, pelakon yang sudah dianggap seperti gurunya itu kini berada dalam keadaan baik dan dia berharap agar semua pihak dapat memberikan ruang buat Que untuk menyelesaikan sendiri segala hal melibatkan keluarganya.
“Ketika ini, dia okay sahaja. Saya pun tak nak masuk campur sangat urusan mereka. Kedua-duanya adalah cikgu saya. Que merupakan cikgu lakonan manakala Linda guru tari saya.
“Saya bukan nak menyebelahi mana-mana pihak. Apa yang saya boleh nasihatkan buat diri sendiri dan orang luar, tak perlulah masuk campur.
“Ini adalah hal mereka. Biarlah mereka yang selesaikan. Tak perlu ada sindiran dan hasutan. Kita pun tak tahu hal sebenar. InshaAllah akan ada perkara baik yang akan mereka dapat,” kongsinya lagi.
Pelakon filem Malaikat Malam ini juga akui tersentuh bila ramai peminat dan rakan-rakan artis yang turut memberikan semangat buat Que dan berharap agar dia tidak menghilang lagi.
“Ya, saya dapat melihat ramai yang sayangkan Que. Itu perkara yang bagus. Mungkin apa yang Que doakan dan lakukan sebelum ini, inilah hal baik yang Allah nak tunjukkan,” kongsinya lagi.
Ditanya bagaimana perasaannya bila mendapat tahu Que terpalit dengan tuduhan yang berat, Kodi akui sedih lebih-lebih lagi bila mengenangkan layanan baik Que dan Linda terhadap dirinya sewaktu masih berumah tangga.
“Saya memang sedih. Malah, bila dapat tahu mereka nak bercerai pun saya sangat sedih. Mereka merupakan sweet couple. Mereka sambut saya masuk dalam keluarga mereka tanpa satu perasaan negatif.
“Mereka sangat mengalu-alukan kehadiran saya. Bila mereka berpisah, saya juga terkesan dan tertanya-tanya. Apa yang sudah jadi?
“Nak tanya lebih-lebih, rasa tak elok pula sibuk hal orang. Saya hanya berikan sokongan dan nasihatkan untuk bersabar. Mungkin ada hikmahnya.
“Saya tak tanya lebih-lebih. Kita sendiri pun tak tahu rumah tangga kita macam mana nanti. Saya sokong mereka sebagai seorang rakan, cikgu, abang dan kakak,” akhirinya.
Terdahulu, isu perceraian antara Que dan Linda Jasmine kembali menjadi perhatian selepas Linda mendakwa perpisahan mereka terjadi kerana mahu melindungi anak-anak daripada kejahatan.
Untuk rekod, Que dan Linda mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 sebelum bercerai pada 2 Julai 2024.
Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar.
Linda juga memiliki seorang anak lelaki, Qalif Khan hasil perkahwinan terdahulu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini