Berita

“Kandungan Sudah Separuh Jalan…,” – Raja Farah Syukur Kembali Hamil Beberapa Bulan Selepas Keguguran, Bakal Timang Cahaya Mata Kelima

Share

Pelakon Raja Farah meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk menimang cahaya mata kelima akhirnya bakal menjadi kenyataan.

Menurut Farah, kehamilan kali ini dianggap sebagai satu hikmah besar selepas dia melalui pengalaman keguguran buat kali keempat, tahun lalu.

“Semoga semua yang sedang TTC dikurniakan rezeki zuriat tahun ini. Amin Ya Rabb.

“23 Disember 2025, ujian kehamilan saya positif. Kandungan dalam tiga ke empat minggu. Alhamdulillah. Rezeki yang tak disangka.

“17 Januari 2026, tiba-tiba ada spotting. Sudah tahu apa kesudahan spotting sebab sudah tiga kali keguguran sebelum ini tapi masih fikir yang positif

“18 Januari 2026, dari spotting, dah mula pertumpahan darah deras. Terus ke unit kecemasan dan disahkan keguguran kali keempat,” tulisnya.

Perkongsian itu dibuat pelakon filem Anak Halal tersebut menerusi satu hantaran terbaharu di Instagram.

Hamil Semula Selepas Keguguran

Farah turut mengakui dia tidak menyangka bakal kembali hamil hanya beberapa bulan selepas mengalami keguguran.

Malah, kandungannya kini sudah memasuki usia lima bulan.

“26 Februari 2026, saya perasan tiada haid selepas keguguran. Terus buat ujian kehamilan, keputusannya positif tapi doktor kata normal tak terus dapat haid lepas keguguran.

“Doktor kata ulang semula ujian lagi seminggu.

“3 Mac 2026, alhamdulillah syukur rezeki untuk terus hamil lagi lepas keguguran dan ketika ini, sudah hampir separuh perjalanan kehamilan saya,” kongsinya lagi.

Bakal Timang Cahaya Mata Kelima

Dalam pada itu, Farah memaklumkan dia akan berkongsi perkembangan kehamilannya dari semasa ke semasa buat para pengikut di media sosial.

“Syukur Ya Allah. Saya bakal menyambut anak kelima. InsyaAllah, saya akan berkongsi lagi kisah dan perkembangan tentang kehamilan ini. Terima kasih semua,” kongsinya.

Untuk rekod, Raja Farah mendirikan rumah tangga bersama Iskandar Ismail pada 6 September 2015.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Sumber & Kredit Foto: Instagram Raja Farah Aziz

Published by
Aizam Manaf