
Kehadiran barisan artis popular tanah air seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali dijangka menjadi daya penarik utama kemeriahan festival Aidilfitri pertama yang dianjurkan di puncak tertinggi di Putrajaya, menerusi Gema Raya Putrajaya 2026 @ PICC.
Festival yang dijadualkan bermula 15 Februari hingga malam raya ini bakal diserikan dengan persembahan artis-artis terlibat pada hujung minggu terpilih, sekali gus menjadikan acara ini antara festival Ramadan/Raya paling dinanti tahun ini.
Turut memeriahkan acara ialah Bella Astillah serta artis meningkat naik iaitu juara sulung program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia, Didie Shazry, dan kumpulan Alpha.
Pada masa sama, Gema Raya Putrajaya juga menjadi salah satu platform strategik untuk artis mendekati peminat mereka dalam suasana Ramadan dan Syawal yang lebih eksklusif.


Iftar di Puncak Bukit Jadi Tarikan
Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, kehadiran barisan artis popular ini dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung untuk hadir dan membeli-belah sempena menyambut bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri sepanjang tempoh 33 hari penganjuran selain pengisian kerohanian dan seni budaya.
Menurutnya lagi, pembabitan artis bertaraf gred A yang pernah memenangi pelbagai anugerah dilihat sebagai penanda aras kelangsungan dan kejayaan penganjuran Gema Raya Putrajaya pada masa akan datang.
“Sebagai penganjur, kami mahu memberikan yang terbaik kepada semua pihak terutama kepada usahawan yang berniaga, dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),” katanya.
Rayme turut menjelaskan, keunikan Gema Raya Putrajaya 2026 bukan sahaja terletak pada elemen hiburan, malah diperkuatkan dengan konsep iftar dan moreh di puncak bukit yang diperkenalkan bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
“Pengunjung bukan sekadar datang membeli-belah atau menonton persembahan artis, tetapi turut berpeluang menikmati suasana iftar dan moreh secara santai di atas puncak bukit, sambil menikmati panorama indah Putrajaya.
“Konsep ini memberi ruang kepada pengunjung untuk berehat, ‘healing’ dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga serta rakan-rakan,” tambahnya.
Gema Raya Putrajaya 2026 merupakan festival Ramadan–Raya yang dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Festival ini menggabungkan keusahawanan, seni budaya, program kerohanian serta inisiatif kebajikan komuniti, dengan penyertaan hampir 300 vendor dan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.
Mengulas lanjut, Rayme memaklumkan bahawa lebih 150 lot niaga daripada hampir 300 lot telah habis terjual sejak dibuka pada Disember lalu, dan baki lot dijangka selesai dalam tempoh terdekat, sekali gus menepis dakwaan bahawa bazar Aidilfitri tahun ini tidak meriah seperti kebiasaan.
Sebagai rekod, Raydiates sebelum ini diberi kepercayaan mengendalikan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal sempena Festival Ramadan Putrajaya 2025, yang berjaya menarik lebih 1 juta pengunjung sepanjang 32 hari penganjuran.
Untuk maklumat lanjut mengenai pengisian acara, jadual persembahan artis, penyertaan vendor serta aktiviti menarik sepanjang penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Gema Raya Putrajaya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




