
Penyanyi Ani Maiyuni berlapang dada dan menerima dengan hati terbuka apabila perjalanan bersama anaknya, Viviana dalam program Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2) berakhir di peringkat suku akhir.
Menurut Ani, dia percaya Viviana telah memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan meskipun memperoleh markah paling rendah berbanding enam peserta lain, malam tadi.
“Kita kena percaya kepada rezeki. Jika rezeki kita sampai di situ sahaja, kita kena terima. Kami sudah berusaha sebaik mungkin. Di mata saya, saya nampak Viviana tiada buat apa-apa kesahalan.
“Apa yang kita berlatih, tunjuk ajar guru dan tarian, kami tak pernah culas. Kami terima keputusan ini dengan hati yang terbuka,” katanya kepada MH.
Ani berkata demikian ketika ditemui selepas konsert minggu kelapan TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.
Menurut penyanyi lagu Sedap itu, meskipun format TTMM2 lebih menekankan aspek persembahan serta komitmen pengurus, dia tetap tidak pernah berkompromi dalam soal kualiti vokal.
“Sejak awal lagi, sudah berkali-kali pengacara dan juri ingatkan bahawa TTMM2 ini bukanlah pertandingan nyanyian sepenuhnya. Ia lebih tertumpu kepada persembahan.
“Kami pun akur. Namun, sebagai anak seni, saya amat menitik beratkan soal vokal. Untuk saya kekal relevan sehingga tahap sekarang, teknik nyanyian itu sangat penting.
“Bila keluar nanti, kita nak jadi penyanyi dan penghibur. Kita bukan nak jadi penari. Namun, kita juga kena faham dengan konsep program.
“Apa yang kami bawakan di program ini adalah satu tiket untuk melangkah lebih jauh. Kami tahu apa yang orang di luar sana mahukan daripada seorang anak seni,” ujarnya lagi.
Baca Artikel Lain;
Dalam pada itu, Ani tidak menafikan kekangan kewangan menjadi antara cabaran terbesar buat dirinya dan Viviana dalam menyediakan persembahan terbaik setiap minggu.
“Saya akui memang ada kekangan dari segi bajet. Namun, saya tidak cemburu dengan mereka yang punyai kelebihan dari segi kewangan.
“Jika bercakap soal tekanan, setiap hari saya akan berfikir ‘macam mana nak cari duit’.
“Pada hujung minggu, saya tak boleh ambil tawaran kerja. Orang selalu panggil kita buat persembahan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Jadi, macam mana saya nak rolling duit itu?
“Saya juga gunakan duit simpanan. Kalau tak digunakan ketika di atas pentas sekali pun, kita terpaksa bergerak setiap hari. Itu pun kos juga. Tak mengapalah kami guna semampu yang ada sahaja,” kongsinya lagi.
Bagaimanapun, Ani menyifatkan penyingkiran di TTMM2 bukanlah penamat kepada perjalanan seni Viviana.
Dia juga bersyukur kerana anak sulungnya itu sudah mula menerima tawaran persembahan sejak beberapa minggu lalu.
“Apapun, ini bukan pengakhiran. Sejak minggu lepas, Viviana sudah mendapat tawaran persembahan.
“Cuma saya tak boleh bagi jawapan kerana jadual kami di TTMM2 ini memang padat. Kami tiada cuti. Nak masuk ke dalam industri seni ini, kita perlukan mental dan fizikal yang kuat.
“Namun, saya agak lega juga. Jika difikirkan semula, bermula esok, saya kena siapkan deck dan pembentangan. Saya bersyukur dengan keputusan ini.
Terdahulu, persembahan Viviana menerusi lagu Jai Ho dan Gangnam Style gagal menambat hati juri, sekali gus menyaksikannya meraih markah terendah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini