
Enggan terus berada di takuk lama, penyanyi Haqiem Rusli menegaskan dirinya kini bersedia untuk mencuba sesuatu yang baharu dan keluar daripada zon selesa demi memastikan kerjayanya terus berkembang.
Menurut Haqiem, isterinya, Anis Sofia, merupakan individu yang banyak memainkan peranan dalam membentuk keyakinannya untuk tampil lebih berani, sekali gus menunjukkan kematangan sebagai seorang anak seni yang tidak takut untuk berevolusi.
“Sofia yang banyak mengubah seorang Haqiem Rusli. Kalau lihat diri saya yang dahulu, penampilan saya nampak sangat tidak bersedia untuk menjadi penyanyi. Saya banyak pilih jalan selamat sahaja.
“Dahulu saya kerap pakai tshirt dan jeket. Jadi, Sofia banyak tegur dan mencadangkan saya untuk mengubah sedikit penampilan dan rebaranding diri.
“Sofia banyak menggalakkan saya untuk mencuba sesuatu yang baharu. Kalau saya berada di takuk yang lama dan dengan penampilan yang sama sahaja, peminat tak akan nampak sesuatu yang baru,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Tergantung Sepi itu berkata demikian ketika ditemui pada Konsert Soundstage yang berlangsung di Zepp KL, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Haqiem turut mengakui dirinya memperoleh perspektif baharu mengenai perjalanan sebagai anak seni selepas menonton filem biografi Michael Jackson baru-baru ini.
“Pada saya, artis perlu melalui proses penjenamaan semula. Sejujurnya, saya buat keputusan untuk mencuba sesuatu yang baharu pun selepas menonton filem Micheal Jackson.
“Filem itu banyak memberikan impak. Saya kaji daripada setiap sudut. Kemudian, saya refleksi semula diri saya. Kalaulah saya sedar lebih awal, mungkin perubahan ini akan jadi lebih awal juga,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Haqiem turut mendedahkan kegagalannya untuk melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) sepanjang lima tahun lalu menjadi isyarat bahawa dirinya perlu mencari pendekatan dan strategi baharu bagi terus memikat hati pendengar.
Menurutnya, situasi tersebut bukanlah sesuatu yang melemahkan semangat, sebaliknya menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan kariernya.
“Saya tak tahu sama ada saya perlu bercakap soal ini atau tidak. Ketika ini, sudah lima tahun saya tidak layak ke AJL. Hikmahnya, ia memberikan satu semangat yang baharu dan menjadi turning point buat saya.
“Terpulanglah kepada persepsi masyarakat yang mengatakan nama saya merudum. Saya hanya mahu berevolusi,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Konsert Soundstage merupakan acara muzik yang membuka tirai kehangatan menjelang Anugerah Juara Lagu ke-40 yang dijadualkan berlangsung Ogos ini.
Selain Haqiem, konsert tersebut turut menampilkan tiga lagi penyanyi terkenal tanah air iaitu Ernie Zakri, Siti Nordiana dan Khai Bahar.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini