“Kalau Tengok Depan-Depan Kek Itu Cantik Tau!,” – Kek Hari Jadi Tular, Ruhainies Rasa Lawak Baca Komen. Yang Penting Sedap Dan Dia Suka!

Share

Sejurus memuat naik foto indah sekitar sambutan hari jadinya yang ke-28, baru-baru ini, pelakon Ruhainies sekali lagi menerima perhatian wargamaya gara-gara sebiji kek dengan rekaan wajah yang didakwa pelik oleh sesetengah netizen.

Ramai menyifatkan, rupa kek patung berkenaan kelihatan seolah-olah ‘menyeramkan’ dan tak kurang juga yang beranggapan ia melucukan rupa yang berbeza dengan ‘birthday girl’ yang diraikan.

Positif dan relak, Ruhainies seperti yang dipetik mStar mengakui sangat menghargai hadiah berkenaan dan tidak melihat dekorasi serta hiasan pada kek itu sebagai satu perkara yang memalukan.

“Sebenarnya saya berada di Pulau Pinang menghadiri perkahwinan sepupu dan tak sangka dalam masa sama ada kejutan sempena hari jadi saya yang sepatutnya pada Isnin (hari ini).

“Apabila saya berkongsi video di Instagram, ramai pula komen mengenai rupa kek tersebut yang dikatakan macam hantu dan sebagainya… Bagi saya, soal rupa itu tak jadi masalah kerana kek itu disiapkan dalam masa singkat.

“Kata pembuat kek, sepatutnya dekorasi menyerupai Barbie tapi kali ini mungkin kesuntukan masa hasilnya lain sikit! Tak kisahlah yang penting nampak kesungguhan dan rasanya sedap sangat!, ”katanya seperti yang dipetik.

Ditanya apakah reaksi bintang Jejak Karmila ini apabila membaca komen di Instagram mengenai kek yang diperkatakan, ini jawab Ruhainies;

“Rasa lawak baca komen mereka, saya dengan adik ketawa sahaja… Biasalah setiap orang ada pendapat masing-masing.

“Hakikatnya kalau tengok dalam video dan gambar memang rupa kek itu nampak lain macam… tetapi kalau tengok depan-depan kek itu cantik tau!

“Yang penting sedap dan saya suka.. Saya nak ucapkan terima kasih kepada pembuat kek dikenali Shauki dan juga kepada mereka yang aturkan majlis tersebut.

“Saya sangat terharu dengan sambutan awal itu!, ” ujarnya lagi.

Sumber: mStar

IKLAN