Berita

“Kalau Ada Yang Nak Dekat, Biarlah Dia Lebih Berjaya Dari Mama,” – Cik B Tak Mahu Ibunya Dibutakan Oleh Cinta, Elak Lelaki ‘Red Flag’

Share

Pempengaruh, Cik B percaya ibunya yang juga usahawan sensasi, Datuk Seri Vida mampu menjalani kehidupan yang bahagia tanpa kehadiran mana-mana lelaki atau pasangan hidup.

Menurut Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, ibunya sudah melalui pelbagai cabaran kehidupan secara berdikari tanpa bergantung kepada mana-mana lelaki dan kini lebih layak untuk menikmati hasil titik peluh yang diusahakan selama ini.

“Memang ramai lelaki yang mahu bersama mama. Pada saya, ketika ini, mama sudah berada di fasa usia yang tidak lagi memerlukan teman lelaki atau pasangan hidup.

“Mama sudah lalui pelbagai ringan tanpa kehadiran mana-mana lelaki. Kalau ada yang nak dekat sekali pun, biarlah dia lebih berjaya daripada mama.

“Biarlah mama goyang kaki sahaja di rumah. Saya mahu mama berehat,” katanya kepada MH.

Cik B berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Grand Finale Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2), baru-baru ini.

Cik B Mahu Vida Berhati-Hati Dalam Soal Cinta

Dalam pada itu, Cik B berpandangan bahawa perasaan cinta kadangkala membuatkan seseorang sukar melihat kelemahan atau kekurangan pasangan.

Justeru, dia percaya proses perkenalan yang lebih mendalam amat penting sebelum membuat sebarang keputusan.

“Cinta itu buta. Kadang-kadang, mama tak nampak yang orang itu punyai banyak ‘red flag’. Bila kita mencintai seseorang, kita tak nampak keburukan dia.

“Namun, orang luar boleh nampak. Biarlah lalui proses berkenalan dahulu. Setidaknya tiga bulan. Barulah kita tahu bagaimana sifatnya,” ujarnya lagi.

Vida Terbuka Soal Jodoh

Sementara itu, Vida turut memaklumkan, meskipun dia tidak terlalu memikirkan soal jodoh, hatinya tetap terbuka sekiranya dipertemukan dengan pasangan yang baik.

“Memang ramai yang cuba mendekat tapi mereka hanya sekadar datang dan pergi.

“Saya sentiasa terbuka untuk didekatkan dengan perkara-perkara yang baik. Apapun, keputusan tetap di tangan anak-anak,” kongsinya.

Mengulas mengenai kenyataan yang mengatakan dirinya kini berada dalam fasa bahagia, Vida menjelaskan perasaan tersebut tidak berkait dengan soal cinta meskipun namanya sedang dikaitkan dengan penyanyi Datuk Fazley Yaakob.

Menurut Vida, kebahagiaan yang dirasainya ketika ini lebih tertumpu kepada hubungan yang semakin erat bersama anaknya sepanjang menyertai program TTMM2.

“Bahagia yang saya maksudkan itu, sepanjang program TTMM2 ini berlangsung, hubungan saya bersama Cik B jadi semakin rapat. Jika di rumah, Cik B banyak duduk di biliknya sahaja.

“Kami hanya akan berjumpa bila dia nak makan atau mintak izin keluar. Bila di program ini, ketika kita nak makan, tidur atau berlatih, semu kita buat bersama-sama,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf